MUAR - Perikatan Nasional (PN) menyifatkan mereka telah mengemukakan calon terbaik pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram kali ini dengan menampilkan Dr Mazri Yahya.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya yakin Dr Mazri mampu melaksanakan tanggungjawab serta amanah yang diberikan dengan baik.
"Kita tampilkan beliau sebagai calon di Simpang Jeram ini dan harap dapat sambutan daripada pengundi.
"Lagi pun, prestasi kita dalam PRN Johor pun agak memberangsangkan dan kita yakin dengan gelombang kebangkitan rakyat terutamanya sokongan yang diberikan menjadi petanda baik kepada kita," katanya.
Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai pelbagai ulasan yang dikemukakan terhadap Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, khususnya pada kolum Minda Presiden, Takiyuddin berkata, pihaknya akan melihat dahulu siapa (pihak) yang memberikan alasan tersebut.
Beliau berkata, jika kenyataan itu sememangnya bercanggah kepentingan dengan kami, memang kami tak ambil kira.
"Tetapi kami akan ambil kira jika ulasan yang dibuat itu adil, ada fakta-fakta yang cukup atau pandangan pihak yang tidak bercanggah, kami akan berikan perhatian.
"Apa pun, apa juga ulasan yang diterima, ia nyata tidak memberikan kesan kepada kempen Pas pada PRK kali ini," ujarnya.