SYARIKAT pemaju perumahan terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) memperkenalkan Program Kesetiaan Pelanggan LBS Perks & Plusses yang diberi nafas baharu untuk memberikan faedah dan ganjaran berterusan kepada pembeli hartanah.
LBS berkata, pelanggan bakal memperoleh pelbagai keistimewaan seperti program rujukan; rebat tunai untuk pembelian rumah kedua; keutamaan akses kepada pelancaran projek baharu; penyenaraian hartanah eksklusif; ganjaran pembelian awal dan jemputan ke acara berkaitan sebagai tanda penghargaan.
Menurutnya, keahlian program berkenaan merupakan pelengkap kepada mana-mana pembeli individu atau korporat yang telah membeli hartanah LBS dan anak-anak syarikatnya dengan harga pembelian minimum RM150,000 selain berpeluang untuk menyertai kempen LBS Fabulous Extra 2022 hingga 2023 dan hadiah menarik bernilai sehingga RM1.5 juta.
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Lim Hock San berkata, pihaknya memahami akan kepentingan kesetiaan pelanggan menerusi program berkenaan selain mencipta ruang kediaman yang luar biasa dan meningkatkan gaya hidup mereka.
"Menerusi program ini, kami berusaha untuk mengukuhkan hubungan dengan pembeli rumah selain menawarkan pelbagai kelebihan eksklusif dan insentif yang unik.
"Pelanggan setia LBS akan menerima pelbagai manfaat daripada saluran sokongan khusus untuk menangani pertanyaan dan persoalan dengan segera.
"Ia mencerminkan komitmen kami untuk membina hubungan yang berkekalan dan menawarkan nilai hebat kepada mereka yang telah menyokong perjalanan kami selama ini,” katanya ketika perasmian Majlis Pelancaran LBS Perks & Plusses di Galeri Jualan KITA@Cybersouth pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif, Datuk Seri Daniel Lim, Datuk Cynthia Lim dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LBS, Datuk Seri Barry Lim.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Joey Lim Hock Guan memaklumkan, LBS sentiasa mengetengahkan situasi menang-menang antara pembeli dan pemaju yang mana masing-masing akan mendapat manfaat daripadanya.
Tambah beliau, pihaknya mahu mengembangkan lagi jalinan kerjasama dengan entiti korporat dalam negara kerana kolaborasi bersama 26 syarikat menerusi program itu mendapat sambutan hangat daripada pembeli yang menyertainya.
"Setakat ini, LBS berpeluang untuk bekerjasama dengan 26 rakan kongsi ternama seperti Acson; Brynton Hotel; Bright Empire Hotpot; Blanc Dental; Coway; Columbia Asia Hospital; D’Marina Marketing; Decathlon; Everybody Electrical; Gintell dan Goodnite International.
"Selain itu, jenama lain seperti Hypergear; Hospital Mata Tun Hussein Onn; Kiddocare; Karangkraf; Lifecare; Mamee; Metroflex; M3 Mall; OMS Kitchen; Panama; Scapes Hotel; The Gigabit; Watsons; Perfect Companion dan ZUS Coffee,” ujarnya.
Majlis Pelancaran LBS Perks & Plusses dimeriahkan dengan pameran perumahan dan reruai, aktiviti memanah, mewarna layang-layang, tanaman mini dan gelang manik buatan tangan.