SHAH ALAM - Kerajaan negeri memperuntukkan RM50 juta menerusi pembiayaan Skim Smart Sewa bagi membolehkan golongan B40 memiliki kediaman Rumah Selangorku.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, dana tersebut diwujudkan ekoran kadar kelayakan pinjaman pemohon yang rendah menyebabkan banyak tawaran Rumah Selangorku terpaksa ditolak.
Menurutnya, hampir 50,000 tawaran Rumah Selangorku diluluskan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sehingga Mac lalu.
"Namun, kira-kira 35 peratus pemohon Rumah Selangorku berdepan masalah pembiayaan pinjaman perumahan daripada institusi kewangan, disebabkan pelbagai isu seperti tunggakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan kad kredit," katanya pada Majlis Pelancaran Dasar Perumahan Mampu Milik Negara di Elmina Community Park di sini pagi tadi.
Amirudin yang juga ADUN Sungai Tua berkata, kelompok ini perlu dibantu memiliki kediaman sendiri kerana merupakan kumpulan sasar bagi projek perumahan mampu milik yang dibangunkan Kerajaan Selangor.
"Melalui Skim Smart Sewa sebanyak 341 unit rumah telah disewakan dengan kadar antara RM450 hingga RM700 sebulan.
"Sebanyak 101 unit telah disiapkan pada awal tahun ini dan bakal disewakan dalam masa terdekat, manakala 541 unit bakal disiapkan pada pertengahan tahun ini hingga awal tahun hadapan," katanya.
Beliau mengajak lebih banyak pemaju hartanah turut serta bersama kerajaan negeri menjayakan insentif perumahan mampu milik Rumah Selangorku yang lebih berkualiti dan kemudahan serba lengkap.
"Rumah Lestari D3 Sime Darby Property dengan Harmoni Elmina 1 yang dilancarkan di Elmina West adalah bukti komitmen dan usaha inovatif syarikat itu dalam menyampaikan perumahan berkanun yang lebih baik di negeri Selangor.
"Jadikan projek ini sebagai tanda aras baharu dalam pembangunan perumahan mampu milik. Ia adalah inspirasi untuk merangka lebih banyak rekabentuk perumahan bagi menjana industri pembangunan hartanah yang lebih progresif," katanya.
Dalam perkembangan lain katanya, Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) bakal merangka rancangan pembangunan membina rumah mampu milik di kawasan RAC di Selangor.
"Pembangunan tersebut akan menyediakan perumahan yang sesuai dan mampu dimiliki dengan jaringan hubungan yang baik. Ia bakal meningkatkan pembangunan ekonomi di sekitar pusat transit dan bagi komuniti sekitarnya.
"Inisiatif ini mencerminkan sokongan kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan visi negeri Selangor sebagai Negeri Pintar menjelang 2025, yang menghubungkan kemudahan pengangkutan awam bersepadu bersama perumahan mampu milik," katanya.