PENGENDALI Kelantan FC, Angel Alfredo Vera mempertahankan pemain muda The Red Warriors (TRW) di sebalik kekalahan besar 2-11 kepada Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV pada Jumaat.
Ketua jurulatih kelahiran Argentina itu turut menyifatkan pemain mudanya sudah memberikan aksi terbaik ketika turun berdepan pasukan berprofil tinggi kendalian Tan Cheng Hoe itu.
"Kesemua pemain tampil dengan perasaan bangga apabila dapat bawa nama Kelantan untuk perlawanan liga tertinggi negara ini," katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan.
Bagaimanapun beliau akur apabila pemainnya itu hanya mampu beraksi baik dalam 20 hingga 30 minit awal permainan sebelum hilang fokus dan momentum.
Jelas Vera lagi, kebanyakan mereka masih kurang minit perlawanan kompetitif apabila sekadar mengharungi lima perlawanan musim ini.
Kesannya tambah Vera, pemain muda Kelantan kerap kehilangan bola, terburu-buru dan panik sekali gus gagal menguasai permainan.
"Sebenarnya tidak mudah buat pemain saya beraksi dengan minit permainan yang kurang tambahan pula apabila berdepan lawan seperti Selangor.
"Kita lawan dengan pasukan kuat, pemain juga gementar, itu normal untuk pemain muda, namun lebih sukar ialah Kelantan tidak mempunyai pemain seimbang.
"Kita cuba pemain malah import (Siringo Ringo) di beberapa posisi, kalau satu, dua pemain mengalami kecederaan, situasi jadi lebih sukar," katanya.
Vera turut menyifatkan situasi semasa TRW merupakan sesuatu yang tidak normal apabila tidak memiliki pemain berkualiti dan import mencukupi dalam satu-satu perlawanan.