BAGAN SERAI - Penganjuran Program Jualan Agro Madani oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sejak April lalu berjaya mencatat nilai RM49 juta setakat ini.
Ketua Pengarah LPP, Datuk Azulita Salim berkata, pelbagai hasil agromakanan antaranya daging lembu, ayam, sayur-sayuran, buah-buahan, produk hasil laut serta produk sejuk beku dijual antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.
Beliau berkata setakat ini sebanyak 126 kawasan terpilih telah menganjurkan program tersebut dan akan diperluaskan di seluruh negara secara berperingkat.
"Harga yang dijual di sini amatlah berpatutan kerana kita tidak melalui harga pasaran, peruncit dan pemborong.
"Produk yang dijual merupakan hasil tanaman peladang dan Pertubuhan Peladang Negeri serta produk oleh usahawan industri kecil dan sederhana," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Jualan Agro Madani peringkat LPP Negeri Perak di Dewan Dato' Zainal Abidin Zin di sini hari ini.
Azulita berkata, selain LPP, program jualan itu turut mendapat kerjasama daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang turut memasarkan pelbagai produk keluaran agensi terbabit.
"Orang ramai perlu merebut peluang (membeli pelbagai barangan di program jualan berkenaan) kerana harga barangan yang dijual amat berpatutan sekali gus dapat mengurangkan bebanan pengguna yang terkesan dengan kenaikan harga barang," katanya.
Azulita berkata, program jualan itu turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat untuk para pengunjung yang hadir seperti demonstrasi masakan oleh usahawan, 'pocket talk' bersama pengunjung serta jualan kombo Agro Madani. - Bernama