SANDAKAN - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan tiga kereta 'buggy' untuk membawa pengundi warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Muhibbah, di sini hari ini.
Perkhidmatan kereta itu digunakan khusus untuk mengangkut pengundi saluran satu dan dua di pusat itu bagi memudahkan pergerakan mereka.
Iklan
Iklan
Seorang warga emas, Ijah Ambiting, 63, berkata dia tidak perlu berjalan jauh sehingga sakit kaki kerana dapat menaiki buggy terus ke saluran pusat mengundi.
Perasaan sama turut dikongsikan Alma Salud, 73, yang bersyukur dengan kemudahan buggy disediakan SPR untuk golongan yang memerlukan.
"Dahulu tiada (buggy) tetapi sekarang sudah disediakan, mak cik sangat senang hati sebab tidak perlu jalan jauh," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pusat mengundi itu.
Sementara itu, Wong Kah Wai, 30-an, berkata walaupun tidak menaiki buggy namun dia berharap supaya perkhidmatan itu akan diteruskan pada masa akan datang kerana ia memberi keselesaan kepada pengundi warga emas dan OKU.
Kereta buggy itu turut digunakan di beberapa pusat mengundi lain pada PRK Sandakan yang mempunyai 19 pusat mengundi dan 90 saluran.- Bernama