TMESA peruntuk RM90,000 setahun bantu pelajar miskin

Iklan
Mohd Nurkhuzaini (depan, enam dan kanan) dan Muhammad Nasir (depan, enam dari kiri) bergambar bersama ahli jawatankuasa TMESA ketika hadir AGM ke-19 di Dewan Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam.

SHAH ALAM - Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Tengku Mahmud (TMESA) memperuntukkan sebanyak RM90,000 setahun untuk membantu 70 pelajar miskin di sekitar daerah Besut, Terengganu.

Presiden TMESA, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, sumbangan itu diberi bagi memajukan pendidikan pelajar yang berpotensi namun tidak berkemampuan dari segi kewangan sekali gus memastikan lebih ramai pelajar cemerlang.

Iklan
Iklan

"Setakat ini pihaknya memberi tumpuan kepada pelajar di sekitar daerah Besut, namun mungkin boleh diperluaskan lagi di sekitar kawasan Terengganu malah di seluruh negara.

"Ia sememangnya dalam perancangan kami namun kekangan dana menyebabkan usaha itu masih tertangguh," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika hadir Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) TMESA kali ke-19 yang dirasmikan oleh Exco Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman pada Sabtu.

Muhammad Nasir berkata, kerjasama daripada semua pihak juga amat dialu-alukan agar lebih ramai pelajar dapat dibantu kelak.

Iklan
Rosliza Akma Zakaria (empat dari kanan) mengacau bubur asyura anjuran Persatuan Anak-Anak Terengganu di Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pesat) di Kumpulan Karangkraf pada Sabtu.

"Apa yang kami buat adalah mengenal pasti pelajar yang datang daripada keluarga susah dan 'sponsor' mereka dari segi kewangan selama dua tahun.

"Kebanyakan pelajar yang kami taja berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti dan juga bekerja di luar negara," katanya pada Sabtu.

Sementara itu, menurut Mohd Nurkhuzaini, pihak kerajaan negeri Terengganu bersedia berkolaborasi dengan TMESA khususnya dalam membantu pelajar miskin.

Ujarnya, ini kerana ia merupakan salah satu cabang kerja kerajaan negeri iaitu memastikan nasib rakyat terbela.

"Kami sangat mengalu-alukan kerjasama antara kedua-dua belah pihak memandangkan kerajaan tidak mampu untuk bertindak sendirian, wujudnya persatuan seperti ini dapat membantu kami dalam menangani isu kemiskinan di kawasan sekitar. Usaha tersebut harus dicontohi dan dipuji.

"Saya percaya sebelum hujung tahun ini akan ada pelbagai program kerajaan bersama TMESA.

"Cuma saya minta mereka buat kertas kerja dan hantar kepada pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) agar tindakan lanjut dilakukan. Tidak dapat bantu sikit kita bantu banyak," jelasnya.

Dalam pada itu, Persatuan Anak-Anak Terengganu di Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pesat) bergotong -royong menyediakan 700 pek bubur asyura untuk diagihkan kepada ahli-ahlinya.

Presiden Pesat, Rosliza Akma Zakaria berkata, program itu bertujuan memupuk semangat kerjasama dan merapatkan ukhuwah dalam kalangan ahli yang terlibat.

"Setiap tahun kita akan mengadakan program 'Kuca Surer' bagi memastikan ahli dapat berkumpul dan dan bertanya khabar. Contohnya, hari ini sebanyak empat kawah bubur asyura berjaya dimasak hasil kerjasama ahli yang datang.

"Kami mula memasak dari pagi hingga ke petang. Oleh itu, saya berharap agar inisiatif ini dapat diteruskan supaya ahli sentiasa berhubung dan mengikuti perkembangan masing-masing," katanya.

Menurut Rosliza, program tersebut memerlukan peruntukan sebanyak lebih RM6,000 dan ia ditaja oleh Pesat dan ahli-ahlinya.

"Selain itu, pelbagai program lain turut diadakan antaranya mengaji al-Quran yang akan diadakan pada bulan September nanti," jelasnya.