PENGENDALI Perak FC, Yusri Che Lah mengakui pasukannya berdepan tugas getir apabila bakal melayan kunjungan KL City FC bagi aksi Liga Super di Stadium Perak, esok.
Beliau berkata, ini kerana skuad The City Boys mempunyai ramai pemain berkaliber yang mampu menafikan peluang Perak untuk mengutip tiga mata berharga di laman sendiri.
"KL City merupakan pasukan yang liat dan sukar untuk ditewaskan jika mereka berada dalam kondisi terbaik.
"Namun, saya percaya dengan komitmen dan kesungguhan ditonjolkan pemain dalam beberapa perlawanan sebelum ini, kita akan tampilkan persembahan berkualiti untuk menyaingi mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Selepas mengharungi 20 perlawanan, skuad The Bos Gaurus kini berada di kedudukan ke-11, mengutip 16 mata manakala KL City di tempat ketujuh dengan pungutan 28 mata.
Pengendali berasal dari Perlis itu turut menjelaskan kelebihan beraksi di laman sendiri seharusnya digunakan sebaik mungkin oleh pemain untuk menampilkan aksi cemerlang bagi menjelmakan kemenangan.
"Saya percaya para pemain bakal menampilkan permainan terbaik dan dengan sokongan peminat, ia akan menjadi tonik tambahan untuk mereka menjelmakan kemenangan,” katanya.
Mengulas mengenai persiapan pasukan, beliau berkata semua tonggak import bebas daripada sebarang kecederaan dan bersedia untuk diturunkan dalam perlawanan tersebut.
"Pemain import semua dalam keadaan baik termasuk Sunday Afolabi yang sebelum ini mengalami kecederaan kecil di kepala. Cuma, kalau berlaku perubahan pun mungkin di bahagian pertahanan namun ia tidak akan menjejaskan perancangan kita,” katanya. - Bernama