RAWANG - Penduduk Bandar Tasik Puteri (BTP) bersedia memfailkan injunksi di mahkamah untuk menghalang projek loji insinerator Batu Arang di sini dilaksanakan.
Jurucakap Jaringan Tolak Insinerator (RTI), Abdul Hanan Abd Mokti berkata, langkah itu akan diteruskan sekiranya tiada sebarang tindakan atau campur tangan daripada kerajaan negeri Selangor.
Menurutnya, penduduk tidak menghalang sebarang pembangunan namun tidak bersetuju projek insinerator tersebut dibina di kawasan berhampiran kawasan perumahan.
"Kami berdepan dengan risiko kesihatan, air resapan (leachate) yang akan mencemarkan tanah, tasik dan sumber air di kawasan ini.
"Penduduk juga terdedah kepada bahan kimia seperti karbon monoksida serta agen penyebab kanser," katanya menerusi bantahan bersama penduduk di Medan Puteri BTP di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Mohd Rafiq Abdullah.
Bantahan sama telah dua kali diadakan penduduk mendesak kerajaan negeri campur tangan berkenaan cadangan projek insinerator Batu Arang.
Bantahan pertama telah dibuat oleh lebih 20 persatuan mewakili 100,000 penduduk di Batu Arang, Kota Puteri, Kundang, Bandar Tasik Puteri dan Bandar Country Homes pada 19 Ogos lalu.
Abdul Hanan yang juga Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Tasik Puteri 2 berkata, penduduk juga curiga terhadap projek berkenaan apabila sesi libat urus sebelum ini hanya melibatkan pihak-pihak tertentu yang bukan mewakili penduduk.
"Wakil penduduk yang dijemput itu sebenarnya tidak mewakili kami kerana hanya dua kejiranan sahaja terlibat sedangkan terdapat 30 kejiranan di BTP ini," jelasnya.
Sementara itu, Mohd Rafiq berkata, kerajaan negeri diminta mendengar bantahan penduduk yang mempunyai asas untuk menolak projek tersebut dilaksanakan.
"Secara keseluruhan penduduk BTP yang didiami 120,000 orang membantah cadangan pembinaan insinerator ini.
"Saya akan bawa isu ini ke sidang DUN yang dijangka hujung bulan Oktober atau awal November nanti.
"Saya juga akan membantu penduduk mendapatkan injunksi mahkamah," katanya.