LAHAD DATU - Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu berjaya mematahkan kegiatan penyeludupan rokok apabila menahan sebuah bot laju di pesisir pantai Kampung Kenali, Felda Sahabat 16, malam semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, PPM yang ketika itu sedang menjalankan Ops Landai mengesan sebuah bot laju yang dikendalikan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 10 malam.
Menurutnya, apabila didekati lelaki berkenaan bertindak terjun dari bot dan berenang ke darat sebelum terus meloloskan diri di kawasan belukar berhampiran pantai.
"Usaha mengesan suspek dilakukan dan hasil pemeriksaan ke atas bot laju tersebut mendapati muatan rokok putih yang disembunyikan di dalam beberapa beg plastik hitam di ruang bot laju berkenaan.
"Kesemua rokok-rokok ini dipercayai belum dibayar cukai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pajeri berkata, bot berserta sebuah enjin serta peralatannya dan rokok-rokok tersebut dirampas dan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Lahad Datu.
"Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 55,200. Kesemua rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Cawangan Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya,” katanya.