SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir memeriahkan Kepci Music Fest yang diadakan di Stadium Malawati, di sini malam ini bersempena sambutan jubli emas restoran makanan segera, KFC di Malaysia.
Ketibaan Perdana Menteri kira-kira 9.05 malam ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail disambut meriah oleh sekitar 8,200 hadirin di festival itu.
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Pengerusi QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brand), Tan Sri Jamaludin Ibrahim serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan QSR Brand, Nehchal Khanna.
Festival yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-50 KFC itu menampilkan persembahan muzik dari barisan artis penyanyi baharu dan legenda tempatan.
Antara penyanyi yang hadir menghiburkan hadirin pada konsert yang berlangsung selama hampr tiga jam itu adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Misha Omar, Datuk Amy Search, Bunga serta kumpulan Insomniacks dan COEX.
Restoran pertama KFC di buka pada 1973 di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur dan sehingga kini mempunyai 770 cawangan di seluruh negara.
Kumpulan QSR Brands adalah pemilik francais KFC dan Pizza Hut di Malaysia, Singapura, Brunei dan Kemboja. - Bernama