Cicit bekas PM Britain mohon maaf perhambaan di Guyana

Iklan
Charles Gladstone memohon maaf atas penglibatan moyangnya dalam perhambaan dan buruh paksa di Guyana. Gambar kecil: William Gladstone. - Agensi

GEORGETOWN - Keturunan bekas Perdana Menteri Britain, William Gladstone pada Jumaat memohon maaf atas kekejaman keluarga mereka di Guyana dan menggesa United Kingdom (UK) membincangkan pampasan di Caribbean.

Bapa William, John Gladstone adalah salah seorang pemegang hamba terbesar di bahagian Caribbean yang dijajah oleh Britain dan dipercayai memiliki dua kapal mengangkut beribu-ribu orang Asia dari India serta tempat lain untuk bekerja sebagai buruh paksa selepas pemansuhan perhambaan pada tahun 1834.

Iklan
Iklan

"Perhambaan adalah jenayah terhadap kemanusiaan dan kesan negatifnya terus dirasai di seluruh dunia hari ini.

"Kami memohon maaf kepada keturunan hamba di Guyana,” kata Charles Gladstone, cicit William pada majlis pelancaran Pusat Kajian Migrasi dan Diaspora Universiti Guyana.

Iklan

Beliau turut memohon maaf atas peranan keluarga mereka dalam buruh paksa.

Namun, ucapannya dicemari dengan jeritan kemarahan daripada keturunan hamba yang hadir di dewan kuliah universiti berkenaan.

Iklan

"Keluarga Gladstone pembunuh! dan bayar ganti rugi," bergema di dalam dewan.

Aktivis Afro-Guyan Nicole Cole, yang merupakan antara penunjuk perasaan berkata, permohonan maaf itu tidak mencukupi.

"Tiada permintaan maaf yang mencukupi tetapi ia adalah satu langkah ke arah mengiktiraf bahawa jenayah telah dilakukan dan kehidupan orang ramai telah terganggu,” katanya kepada AFP.

Charles dan lima ahli keluarga lain berikrar untuk menyokong kerja jabatan universiti baharu, selain menggesa UK mengadakan perbincangan dengan 15 negara Komuniti Caribbean (Caricom) mengenai ganti rugi.

Eric Phillips, ahli Suruhanjaya Pemulihan Caricom berkata, penyelidikan menunjukkan British berhutang kepada keturunan Afrika di Guyana lebih daripada AS$1.2 trilion (RM557 trilion).

Charles memberitahu AFP bahawa walaupun dia tidak dapat mengulas mengenai angka kewangan sebenar, UK dan kerajaan di Eropah mungkin ‘takut dengan jumlah itu’. - AFP