UMNO terus bangkit perjuang bangsa dan agama

Iklan
Ahmad Jazlan Yaakub

MACHANG - Ulangtahun UMNO ke-73 menjadi saksi kebangkitan semula parti Melayu itu selepas kecundang buat pertama kali dalam sejarah pada PRU14.

Kekalahan UMNO buat pertama kali selepas 60 tahun memerintah negara menjadi titik tolak kepada perubahan parti pada masa hadapan untuk kembali merapatkan saf dan melaksanakan perubahan.

Iklan
Iklan

Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, UMNO tidak akan menoleh ke belakang sebaliknya terus bangkit demi perjuangan bangsa, agama dan tanah air.

Katanya, sokongan rakyat yang melonjak selepas PRU14 menjadi kekuatan kebangkitan tersebut dan percaya ia akan terus meningkat dari masa ke semasa.

Iklan

"Semangat dan kebangkitan rakyat dapat dilihat dengan jelas apabila mereka kecewa dengan prestasi yang ditunjukkan oleh kerajaan pada hari ini, terutamanya di kalangan generasi muda.

"Wajah-wajah yang sekian lama menghilang, mula muncul kembali dengan semangat yang jitu bagi sama-sama memperjuangkan hak orang Melayu dan Islam yang kian dipinggirkan," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi hari ini.

Iklan

Tambah Ahmad Jazlan, sekalipun kehilangan beberapa pemimpin dalam parti tersebut yang memilih untuk bertukar arah namun ia bukan satu kerugian sebaliknya pemutihan semulajadi yang akan memperkuatkan parti.

Jelasnya, mereka yang benar-benar ikhlas akan terus memperjuangkan parti dan mereka yang mempunyai kepentingan peribadi tidak mempunyai tempat di dalam parti malah hanya akan menjadi duri dalam daging.

Menurutnya lagi, dalam masa yang sama, perpaduan antara UMNO dan Pas menunjukkan perkembangan yang baik malah kerjasama itu juga dilihat memberi lebih banyak faedah daripada keburukan.

"Kerjasama UMNO dan Pas sebagai parti pembangkang kini semakin baik dan ia dizahirkan demi kebaikan serta penyatuan ummah," katanya.