SEREMBAN - Hidup seorang pemuda berubah sekelip mata selepas disahkan menghidap kanser limfoma tiga tahun lalu.
Bukan itu saja, Mohammad Asma'an Zulkefle, 32, juga tidak mampu bergerak seperti dahulu selepas tulang pinggulnya disahkan mati berikutan saluran darahnya dikatakan mengecut dipercayai kesan daripada pengambilan ubat.
Keadaan itu menyebabkan bekas pekerja sektor minyak dan gas berkenaan tidak lagi mampu untuk bekerja dan hilang sumber pendapatan.
"Doktor tidak menolak kemungkinan saya menghidap kanser disebabkan kesan radioaktif ketika saya bekerja dahulu, tapi tiada pengesahan mengenainya.
"Paling mengejutkan apabila doktor beritahu paru-paru saya hanya berfungsi 30 peratus dan jika lambat dirawat, peluang untuk hidup 50-50," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Dusun Setia di sini pada Sabtu.
Menurutnya, doktor memaklumkan yang kansernya kini berada dalam keadaan terkawal, namun berisiko untuk menyerang kembali.
Deritanya sebagai penghidap kanser kata, Mohammad Asma'an mungkin telah berakhir, tetapi tidak derita disebabkan tulang pinggulnya mati.
"Saya ada buat pembedahan menebuk tulang pinggul untuk saluran darah baharu. Selepas itu sakit berkurangan dan saya boleh berjalan semula tetapi tak lagi macam dulu.
"Saya pun ada cuba pergi bekerja semula, tetapi tak bertahan lama kerana kaki saya tak kuat malah kaki kanan pula menjadi pendek seperti mengecut," katanya.
Disebabkan itu Mohammad Asma'an berkata, dia menagih pertimbangan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk mempertimbangkan semula permohonannya untuk mendapatkan pencen ilat.
Katanya, dia ada membuat rayuan tetapi ditolak atas alasan masih mampu untuk bekerja.
"Saya mohon pencen ilat pada September 2021 selepas berhenti kerja pada Ogos 2020 disebabkan keadaan masalah kesihatan dialami.
"Tapi malangnya ia ditolak dan rayuan kali kedua dibuat awal tahun ini juga. Saya sangat berharap PERKESO dapat buat penilaian semula kerana memang tak mampu lagi bekerja," katanya.
Meskipun begitu, anak sulung dari empat beradik itu tetap cuba berusaha mencari cara lain bagi membolehkannya mencari pendapatan buat menyara keluarga.
Katanya, kini sedang belajar membuat grafik yang mungkin boleh dijadikan sebagai sumber pendapatannya selepas ini.
"Tapi saya sedar ia ambil masa kerana grafik bukan bidang saya dan ini sebagai ikhtiar dan persediaan saja.
"Saya kini terpaksa bergantung harap sepenuhnya pada isteri yang bekerja sebagai jururawat dengan pendapatan RM1,800 sebulan," katanya.
Bagaimanapun katanya, dengan keadaan ekonomi sekarang, ia tidak mencukupi ditambah pula ada pinjaman bank perlu dilangsaikan.
Tambahnya, dia bersyukur kerana menerima bantuan bulanan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lampin pakai buang serta susu daripada Baitulmal.
"Cumanya sekarang sebagai seorang pencarum, saya berharap sangat ada manfaat yang dapat disebabkan masalah kesihatan dialami," katanya.
Sementara itu bapanya, Zulkefle Ismail, 60, turut berharap pihak PERKESO dapat membuat penilaian semula permohonan pencen ilat anaknya.
Ujarnya, dia bukannya mahu meraih simpati atau sengaja menimbulkan isu tetapi berharap ada peluang buat anaknya.