KELETAH bersahaja ibu kepada penyanyi Nubhan Ahmad iaitu Badariah Omar, 78, atau lebih dikenali sebagai Mak Jenny menarik perhatian ramai.
Apatah lagi, rakaman video yang dimuat naik Nubhan memaparkan aksi lucu dan spontan ibunya itu mencuit hati peminat.
Malah, karakter Mak Jenny yang dicipta oleh Nubhan itu berjaya mengumpul peminat tersendiri sekali gus mempopularkan dirinya.
Selain pelbagai kejutan dan hadiah istimewa yang diberikan kepada ibunya, terbaharu Nubhan, 37, atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad merakamkan sebuah lagu yang dicipta dan didedikasikan khas buat Mak Jenny berjudul Kekasihku Untukku.
Lagu bergenre pop balada hasil ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh serta lirik oleh Ikhwan Fatanna itu diterbitkan oleh syarikat rakaman Seventeen Eleven Music dan dlancarkan secara rasmi pada 18 Ogos 2023.
Nubhan berkata, selepas kali terakhir muncul dengan single duet bersama Siti Nordiana berjudul Sekali Lagi pada 2021, lagu Kekasihku Untukku ini disifatkan sebagai buah tangan yang cukup istimewa.
"Lagu ini saya rakamkan selepas Hari Raya Aidilfitri lalu.
Diakui memang sudah lama tidak ada single solo dan kali terakhir pun pada dua tahun lepas, duet bersama Nana.
Apabila ramai yang minta saya muncul dengan lagu baharu, jadi saya mahukan sesuatu yang baharu.
"Disebabkan itu, saya fikir apa salahnya buat lagu untuk Mak Jenny.
Lagipun ramai yang dah kenal mak saya. Banyak video dia juga yang mencuit hati penonton.
Niat saya menghasilkan lagu ini adalah nak jadikan ia sebagai lagu kasih sayang sejati terhadap ibu,” katanya.
Tidak salah berbakti kepada orang tua
Menurut Nubhan, lagu Kekasihku Untukku itu juga menjadi bukti yang mana tidak salah jika kita berbakti dan berbuat baik pada orang tua.
"Saya mahu lagu ini menjadi bukti dan nak tunjuk kepada anak-anak saya nanti.
Ia juga bukti kalau kita buat baik terhadap orang tua, balasan baik pasti dapat.
Lagu yang saya nyanyikan ini memang khas untuk Mak Jenny.
"Justeru, saya nak orang ramai sama-sama menghayati lagu ini yang menceritakan kasih sayang kepada ibu.
Memandangkan saya sudah tidak ada ayah, jadi saya curahkan segalanya kepada mak,” katanya.
Rasa rindu ibu
Berkongsi lanjut, Nubhan berkata, idea penghasilan lagu Kekasihku Untukku itu didorong oleh orang ramai yang banyak memberikan maklum balas positif terhadap kandungan video yang dimuat naik membabitkan Mak Jenny.
"Lagu ini terhasil pun sebab banyak respons daripada kandungan video membabitkan mak saya.
Saya mendapat banyak respons positif yang mana ada antaranya meluahkan rasa rindu terhadap ibu mereka, tak sempat nak membahagiakan mak mereka dan pelbagai kisah lagi mengenai mak.
"Paling penting, tujuan lagu ini supaya kita semua jadikan orang tua sebagai keutamaan dalam hidup kita.
"Dalam masa, lagu ini juga untuk peminat yang sudah lama tidak mendengar nyanyian daripada saya.
Ini untuk mereka, supaya sama-sama dapat manfaat. Menyanyi ini hobi dan minat saya. Saya dah lebih 10 tahun dalam bidang ini.
Sekejap nyanyi, hilang dan sibuk dengan perniagaan,” katanya.
Nubhan gembira orang masih ingat
Menurut Nubhan, bukan sesuatu yang janggal buat dirinya apabila akhirnya muncul dengan lagu solo.
"Apabila sibuk dengan perkata lain, bukanlah janggal nak ada lagu.
Sebab saya pun bermula sebagai penyanyi.
Sejujurnya, saya gembira kerana sekurang-kurangnya tak adalah terus hilang.
Gembira bila orang masih ingat dan nak dengar saya nyanyi.
"Macam baru-baru ini saya ada membuat persembahan dengan Mawi, ramai nak sangat saya membuat kemunculan semula.
Saya pula jenis yang jarang nak ‘cover’ lagu. Tapi sebab bila dah minat, ia akan dibuat dari hati. Bukan sebab nak glamor.
"Insya-Allah, kalau selepas ini ada lagu baharu, kelainan nak nyanyi, apa salahnya.
Bagi saya masa itu bukan masalah, saya okay. Saya buat atas minat dan hati,” katanya. - Gempak