MARAN - Seorang suami maut selepas kereta yang dipandu isterinya terbabas dalam kemalangan di KM172.2 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) hala Kuala Lumpur hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi tadi, mangsa Tay Meng Kiow, 69, beralamat Kuala Terengganu meninggal dunia di lokasi kejadian.
Isterinya yang memandu kenderaan jenis Mercedes Benz, Sew Yoon Yin, 64, mengalami kecederaan di bahagian mata dan bahu sebelah kiri.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, ketika kejadian, sampai di lokasi di lorong kanan, pemandu terbabit dipercayai mengantuk menyebabkan kereta yang dipandu hilang kawalan.
Menurutnya, situasi itu menyebabkan kereta terbabit terbabas ke kiri jalan lalu melanggar tebing bukit sebelum terbalik di atas lorong kiri jalan.
"Mangsa (Meng Kiow) telah disahkan meninggal dunia dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat.
"Pemandu yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya lagi, siasatan lanjut diteruskan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.