LONDON - Pesalah berbahaya yang melakukan pembunuhan paling kejam akan berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup tanpa peluang dibebaskan di bawah rancangan baharu yang diumumkan Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kerajaan berhasrat untuk meminda undang-undang supaya hakim dikehendaki menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas pembunuh yang paling kejam, kecuali dalam keadaan yang sangat terhad.
Penjara seumur hidup adalah hukuman paling berat yang terdapat dalam sistem keadilan jenayah negara.
Pindaan undang-undang juga untuk pertama kalinya mengenakan hukuman penjara untuk sebarang pembunuhan bermotifkan seksual.
Downing Street berkata, ini mungkin terpakai kepada kes pembunuhan Zara Aleena dan Sabina Nessa di London baru-baru ini.
Penjenayah bagi kes Aleena dan Nessa masing-masing dijatuhi hukuman penjara 38 tahun dan 36 tahun kerana membunuh graduan undang-undang serta guru berkenaan.
Perdana menteri berkata:" Saya telah berkongsi rasa ngeri orang ramai terhadap kekejaman jenayah yang kita lihat baru-baru ini.
"Rakyat benar mengharapkan bahawa dalam kes-kes yang paling serius, mereka mengharapkan kejujuran dalam menjatuhkan hukuman. ”
Setiausaha Kehakiman Alex Chalk berkata:"Hukuman seumur hidup kini akan menjadi jangkaan bagi pembunuh di mana pembunuhan itu melibatkan kelakuan seksual atau sadis.
Bagaimanapun Parti Buruh yang memperjuangkan isu jenayah menuduh kerajaan Konservatif gagal.
Setiausaha kehakiman bayangan parti itu, Steve Reed berkata:" Tiada siapa yang akan mengambil pengajaran dari pemerintahan Tory yang lembut terhadap jenayah.
"Di bawah pengawasan mereka, sembilan dari 10 jenayah tidak dapat diselesaikan dan puluhan ribu penjenayah berbahaya termasuk lelaki bersenjata, penculik kanak-kanak, dan pesalah seks telah mengelak hukuman penjara.
Seramai 70 penjenayah sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup, empat daripadanya ditahan di hospital yang selamat. Mereka tidak akan pernah dipertimbangkan untuk dibebaskan melainkan terdapat alasan belas kasihan yang luar biasa untuk menjaminnya. - Bernama