SHAH ALAM - Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye dilantik sebagai Felo Kehormat Akademi Perubatan Pekerjaan dan Alam Persekitaran Malaysia (AOEMM) bagi mengiktiraf pencapaian dan sumbangannya yang cemerlang kepada sektor keselamatan serta kesihatan pekerjaan.
Perkara tersebut diumumkan pada Mesyuarat Agung Tahunan AOEMM ke-17 baru-baru ini yang dikendalikan oleh Presiden Akademi berkenaan, Dr Abu Hasan Samad.
Lam Thye yang juga Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan) menekankan usaha daripada pihaknya untuk bekerjasama dengan doktor kesihatan pekerjaan (OHD) bagi memenuhi keperluan pelbagai industri.
Menurutnya, doktor kesihatan pekerjaan mempunyai peranan penting untuk menilai, mendiagnosis, merawat, mencegah dan mengurus penyakit serta kecederaan yang boleh berlaku dalam sektor tersebut.
"Selain itu, saya juga merasakan bahawa mereka boleh menyediakan sistem sokongan yang baik untuk memperkukuhkan bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta membawa pengaruh perubahan positif di tempat kerja atau masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sementara itu, Lam Thye menegaskan bahawa semua OHD wajib menegakkan profesionalisme dan etika dalam amalan perubatan pekerjaan.
Tambah beliau, OHD perlu terlibat secara aktif dengan pihak berkepentingan lain dalam pendidikan atau latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) menerusi kerjasama, perundingan, komunikasi serta penyelarasan.
"Mereka boleh bekerja lebih rapat dengan pengurusan syarikat dan pasukan sumber manusia untuk memahami keadaan tempat kerja yang akan memupuk hubungan lebih baik antara OHD serta industri,” ujarnya.