RANTAU PANJANG - Seorang pemuda dari Kampung Tasek Berangan dekat sini tidak pernah menyangka mampu memperoleh pendapatan lumayan dengan menjual daun yang dijadikan lukisan turut mencetus fenomena dalam kalangan peminat seni.
Muhammad Azam Othman, 22, menukar daun ke dalam bentuk wang menerusi lukisan potret yang dihasilkan menggunakan bahan terbuang itu.
Menurutnya, sehelai daun yang siap dilukis akan dijual dengan harga sekitar RM25 hingga RM100 sehelai bergantung kepada kesukaran proses pembuatannya.
"Idea untuk melukis pada daun mula tercetus semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), di mana pada waktu itu cikgu saya Mazdi Mahmood dari SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan) Gual Periok memberi idea untuk memotret wajah. Dari situ hasil kerja saya mulai tular sehingga ia menjadi sumber pendapatan," katanya kepada pemberita.
Menurutnya, antara daun yang digunakan ialah balik angin, nangka, tapak kuda, teja dan lain-lain yang hanya diambil di sekitar kampungnya.
Ujar anak ke tujuh daripada sembilan beradik itu, daun yang dikutip itu akan dilembapkan terlebih dahulu sebelum dikeringkan separuh hari di bawah cahaya matahari.
Tambahnya, daun itu perlu dipastikan separuh kering jika tidak ia mudah rapuh dan sukar untuk dilukis.
"Selain itu antara peralatan lain yang digunakan ialah pisau dan pensel.
"Setakat ini saya mampu menghasilkan lukisan pada 30 helai daun dalam tempoh sebulan, mengikut jenis tempahan yang diminta pelanggan," katanya.
Muhammad Azam memberitahu, kebanyakan pelanggannya menempah untuk hadiah hari jadi, cenderamata, ulang tahun perkahwinan dan sebagainya.
Kata dia, kebanyakan mereka dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Kedah dan ramai lagi.