KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengambil tindakan terhadap kes tarian separa bogel di hadapan sebuah premis di Jalan Bukit Bintang yang tular di media sosial baru-baru ini.
DBKL dalam satu kenyataan berkata, siasatan dan pemantauan yang dijalankan mendapati premis tersebut mempunyai lesen komposit bagi menjalankan aktiviti pasar raya.
Bagaimanapun menurutnya, premis tersebut telah dikendalikan oleh empat pekerja warga asing daripada Bangladesh dan Iran yang tidak mempunyai permit kerja sah.
"Selain itu, satu notis kompaun turut dikeluarkan kerana menjalankan aktiviti selain yang dilesenkan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Ujarnya, premis tersebut juga diarahkan untuk ditutup serta-merta kerana dikendalikan oleh bukan warganegara.
Baru-baru ini tular video berdurasi satu minit lima saat memaparkan beberapa wanita yang berpakaian mencolok mata sedang membuat tarian di kawasan terbuka di hadapan premis berkenaan.
DBKL memaklumkan, kejadian tersebut berlaku pada 5 Julai lalu sewaktu menyambut ulang tahun premis tersebut.