MUAR - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan tindakan segelintir ahli dan bekas pemimpin parti itu menyertai Parti Amanah Negara (Amanah), hanya disebabkan takut kalah pada pilihan raya.
Abdul Hadi berkata, tindakan tersebut jelas menggambarkan mereka lemah semangat hingga sanggup meninggalkan dasar perjuangan Pas.
"Terdapat dalam kalangan (ahli/pimpinan) Pas yang lemah semangat, dan sayang nak tinggalkan DAP. Takut tak menang pilihan raya.
Abdul Hadi berkata demikian ketika berucap sempena program Ceramah Perdana di Markas Pas Kawasan Bakri, sempena Pilihan Raya Kecil (PRK), Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di sini, pada Sabtu.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandangnya yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, 23 Julai lalu.
Sementara itu, Abdul Hadi berkata, pihaknya akan terus bersama dalam perjuangan Pas, di sebalik tindakan ahli serta pimpinan parti berkenaan meninggalkan parti berkenaan.
Katanya, biarpun tewas beberapa kali dalam pilihan raya, namun perjuangan Islam akan terus dipertahankan.
"Kalah tu kalahlah... Kita tetap dengan perjuangan Islam," katanya.