JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengambil tindakan terhadap peniaga yang meletakkan syarat dalam pembelian gula.
Pemangku Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tiada syarat dikenakan contohnya perlu melakukan pembelian 1 kilogram gula putih jernih (premium) terlebih dahulu jika mahu membeli gula pasir kasar.
"Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati mengenakan syarat berkenaan tanpa kebenaran pengawal bekalan dan disiasat mengikut Seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Syarat itu tidak boleh diletakkan dan kalau ada sila laporkan kepada kita kerana di bawah perintah bekalan itu, peniaga tidak boleh meletakkan syarat sedemikian dan kita akan ambil tindakan bersesuaian.
"Kita ada terima aduan dan kita dapat selesaikan aduan itu serta-merta," katanya kepada pemberita dalam Program Bimbingan Usahawan & Sesi Libat Urus Bersama Intermediari Korporat SSM 2023 Peringkat Negeri Johor di sebuah hotel di bandar raya ini pada Ahad.
Pada Sabtu, Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail dalam kenyataan berkata, sebuah premis perniagaan di Batu Gajah diserbu selepas didapati menjual gula pasir secara bersyarat.
Tindakan itu dikesan selepas penguat kuasa KPDN berpakaian preman melakukan penyamaran untuk membeli gula pasir kasar berharga RM2.85 sepeket di premis berkenaan.
Hasilnya, premis itu dikesan meletakkan syarat jika mahu membeli gula pasir kasar, perlu terlebih dahulu melakukan pembelian 1 kilogram gula putih jernih (premium) yang berharga RM4.50 sepaket.
Susulan itu, kira-kira 100 kilogram (kg) gula pasir kasar dan 74 kg gula pasir jernih disita untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan keseluruhan RM620.85.
Dalam pada itu, Armizan berkata, KPDN sedang mencari solusi jangka panjang bagi mengatasi masalah bekalan gula negara.
Pihaknya sedang duduk bersama dengan Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi tujuan berkenaan.
"Baru-baru ini pun saya mempengerusikan beberapa mesyuarat dengan pegawai-pegawai dari Kementerian Ekonomi, MITI dan KPKM untuk mencari penyelesaian jangka panjang," katanya.
Pada masa sama katanya, KPDN masih giat menjalankan Ops Manis bagi memastikan pengilang dan pemborong menjalankan tanggungjawab mereka membekalkan gula putih bertapis.
Tambah beliau, KPDN perlu meneruskan Ops Manis untuk memastikan pengilang bertanggungjawab terus membekalkan gula bertapis putih kasar dan halus ini sebanyak 42,000 metrik tan sebulan.
"Itu tanggungjawab mereka (pengilang) perlu tunaikan begitu juga pemborong di bawah peraturan peraturan bekalan," katanya.