PRK: Nazri fokus isu kebajikan veteran tentera

Iklan
Nazri (depan, kanan) berdialog dengan veteran tentera.

MUAR - [DIKEMAS KINI] Isu kebajikan dalam kalangan veteran tentera akan terus diberikan perhatian dalam usaha mencari jalan penyelesaian bagi membantu golongan berkenaan.

Menurut calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK), DUN Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman, perkara itu turut melibatkan mana-mana pesakit veteran tentera yang kini terlantar sakit.

Iklan
Iklan

"Kita memang menjaga kebajikan terutamanya kepada golongan veteran tentera yang kini terlantar sakit.

"Insya-ALLAH kita cari jalan penyelesaian bagi membantu golongan veteran tentera ini pula.

Iklan

Nazri berkata demikian pada program bual bicara bersama veteran tentera di pejabat persatuan veteran tentera cawangan Muar, pada Ahad, sempena PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

Hadir sama, Ketua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Muar, Shamsuddin Rais.

Iklan

Untuk rekod, kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kosong susulan pemergian penyandangnya, Allahyarham Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.

Sementara itu, Nazri berkata, dia juga mahu mencari jalan penyelesaian terhadap beberapa kawasan hotspot banjir di sekitar Simpang Jeram.

Katanya, perkara berkenaan juga merupakan pelan jangka panjang dalam menangani masalah banjir kilat di Simpang Jeram.

"Kalau kita tengok di DUN Simpang Jeram ini isunya adalah banjir kerana berapa hotspot masih lagi berlaku banjir.

"Kita dah buat kajian dan ia dijangka dibentangkan pada hujung Ogos nanti," katanya.

Dalam pada itu, Shamsuddin berkata, pihaknya menyambut baik cadangan Nazri agar isu kebajikan dalam kalangan veteran tentera terus diberikan perhatian.

Menurutnya, usaha itu akan membantu veteran tentera dalam mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi mereka.

"Kami di PVATM Cawangan Muar, mengucapkan terima kasih atas keprihatinan dan usaha yang akan dilakukan terhadap persatuan ini nanti.

"Usaha tersebut dilihat sebagai langkah yang baik dan ternyata memberikan banyak manfaat kepada para veteran tentera ini," katanya.

Tambah Shamsuddin, pihaknya juga memerlukan peruntukan bagi tujuan melakukan penambahbaikan di Pejabat PVATM, Cawangan Muar.

"Sudah tiba masanya pejabat ini dibaik pulih dan diubahsuai bagi memberikan keselesaan kepada orang ramai yang berkunjung ke sini," katanya.