KUALA TERENGGANU - Kejohanan Tour Gateh D'Tranung 2023 yang akan berlangsung pada pada 3 hingga 8 September depan mengetengahkan elemen songket pada lima jersi kemenangan bagi memartabatkan seni warisan tradisional Melayu Terengganu.
Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abd Karim berkata, terdapat lima kategori akan dipertandingkan pada kejohanan yang kini memasuki edisi kedua pada tahun ini.
Menurutnya, lima kategori tersebut ialah Elit, Raja Pecut, Raja Bukit, Kelab Tempatan dan Bawah 21 Tahun di mana akan melalui lima peringkat perlumbaan sejauh 650 kilometer (km) bermula dari Taman Tamadun Islam (TTI) dan berakhir di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.
"Pertandingan ini akan disertai 27 pasukan antaranya sembilan kelab tempatan, 10 pasukan Sukan Malaysia (Sukma) dan lapan pasukan elit antarabangsa dari Eropah, Qatar, Singapura dan Indonesia.
"Kita juga telah mendapatkan tajaan bagi menyediakan hadiah keseluruhan bernilai RM90,000," katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ahmad Shahrizal Yahya dan Pengarah Perlumbaan Tour Gateh D'Tranung 2023, Ahmad Sabri Mustaffa.
Dalam pada itu, Hishamuddin berkata, elemen songket yang diketengahkan dijangka turut mendorong kepada usaha memartabatkan lagi elemen kesenian tradisional di peringkat lebih tinggi.
"Ia juga bergantung kepada bagaimana seni itu diolah untuk menarik lebih ramai peminatnya yang tersendiri," ujar beliau.
Kata Hishamuddin, di samping mengangkat Terengganu sebagai Land of Cyclist, Tour Gateh D'Tranung merupakan antara usaha bagi merancakkan lagi industri pelancongan di negeri itu.
Jelas beliau, kerajaan negeri akan menjadikan Tour Gateh D'Tranung sebagai acara tahunan bagi merancakkan lagi industri pelancongan berasaskan sukan.
"Penyertaan kelab-kelab dari luar akan membantu mempromosikan tempat-tempat menarik di Terengganu sekali gus dapat menjana ekonomi penduduk setempat.
"Kita juga akan mendapatkan lebih banyak penyertaan pelbagai kelab terdiri daripada pelumba amatur dan profesional sama ada dalam negara atau peringkat antarabangsa pada masa akan datang," ujarnya.