Tiga tentera marin AS maut, 20 cedera pesawat terhempas di Australia

Iklan
Marine Rotational Force (MRF) Darwin mengesahkan tiga orang anggotanya telah meninggal dunia, manakala lima yang lain dalam keadaan serius di hospital. - Foto AP

CANBERRA - Tiga anggota marin Amerika Syarikat (AS) maut dalam nahas sebuah pesawat tentera ketika menjalani latihan di luar pantai utara Australia pada Ahad.

Marine Rotational Force (MRF) Darwin mengesahkan tiga orang anggotanya telah meninggal dunia, manakala lima yang lain dalam keadaan serius di hospital.

Iklan
Iklan

Pesawat MV-22 Osprey terhempas dengan 23 orang anggota di atasnya kira-kira jam 9.30 pagi waktu tempatan (2330 GMT pada hari Sabtu), lapor Xinhua.

"Tiga telah disahkan meninggal dunia manakala lima lagi dibawa ke Hospital Diraja Darwin dalam keadaan serius," menurutnya dalam satu kenyataan.

Iklan

"Usaha pemulihan sedang dijalankan. Punca kejadian sedang disiasat. Butiran lanjut akan diberikan seiring perkembangan situasi."

Pesawat itu jatuh di Pulau Melville kira-kira 60 km ke utara Darwin, ibu negeri Northern Territory (NT), di Laut Timor semasa latihan rutin.

Iklan

Terdahulu, Pesuruhjaya Polis NT Michael Murphy memberitahu pemberita pada sidang media bahawa 23 marin cedera dalam nahas itu.

"Mereka yang cedera ialah 23 tentera Kor Marin AS dan kami melakukan segala yang kami mampu untuk mengembalikan mereka dengan selamat kembali ke Darwin untuk rawatan.

"Tambahan anggota polis dan pertahanan telah dikerahkan ke Pulau Melville untuk menyokong operasi, memberi rawatan kepada individu yang cedera dan membawa mereka kembali ke Darwin dan juga mengawal lokasi nahas sementara siasatan diteruskan," katanya.

Jabatan Pertahanan Australia sebelum ini mengesahkan bahawa semua anggota di dalam pesawat itu adalah warga Amerika. - Bernama