SUNGAI PETANI - Seorang kanak-kanak berstatus orang kelainan upaya (OKU) ditemui sugul dalam sebuah rumah bersama mayat bapanya di Taman Sri Wang semalam.
Kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun itu dijumpai dalam keadaan lemah serta tidak terurus akibat beberapa hari tidak diberi makan.
Jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, mereka menghidu bau busuk sejak beberapa hari lalu selain menyedari kehadiran lalat yang semakin bertambah di kawasan perumahan terbabit.
"Disebabkan tak tahan bau, kami cuba cari punca sebab apa, dalam masa sama datang lihat tengok rumah ini, mana tau ada apa-apa terjadi.
"Saya panggil tak jawab, pintu pula kunci, kami tengok dari luar ternampak macam mayat dalam keadaan terlentang di depan rumah, terus kami telefon polis.
"Bila pintu dipecah, baru tau dia dah mati. Bila lihat dalam rumah, rupa-rupanya anak dia ada dalam bilik," katanya.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, lelaki berusia 48 tahun itu dipercayai meninggal dunia sejak enam hari lalu berikutan perubahan fizikal terhadap mayat mangsa.
Menurutnya, isteri mangsa merupakan warga Vietnam sudah berpisah sejak beberapa tahun lalu menyebabkan kedua-dua beranak itu tinggal di rumah sewa berkenaan.
"Anak OKU itu, kita selamatkan dan serahkan kepada jagaan gurunya buat sementara waktu," katanya.