JOHOR BAHRU - Sebanyak 11 kain rentang dengan tulisan 'Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Pulai menolak calon Pakatan Harapan' yang digantung sekitar daerah ini bertujuan memecahbelahkan perpaduan antara BN dan Pakatan Harapan (PH).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan tindakan itu sebagai satu bentuk propaganda dan provokasi pihak tertentu yang mahu melemahkan dan mengelirukan penyokong serta jentera parti.
Justeru kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor itu, pihaknya tidak akan melayan provokasi sedemikian termasuk tidak akan membuat laporan polis.
"Ada 11 kain rentang saya kira dipasang oleh pihak mereka, kononnya ketua cawangan Bahagian Pulai ini tidak menyokong calon PH. Saya ingin menafikan tentang perkara itu dan saya yakin mereka yang memasang, saya tak nak sebut siapa mereka itu.
"Ini bererti mereka bertujuan untuk memecahbelahkan perpaduan yang ada," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Bukit Kempas, di sini pada Ahad.
Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Ramli Bohani dan calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat.
Sejak Sabtu tular dalam media sosial foto kain rentang tersebut yang digantung di beberapa kawasan tumpuan dalam Parlimen Pulai.
Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed turut menafikan terdapat penolakan dalam kalangan ahli parti itu terhadap Suhaizan yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, 9 September ini.
Ahmad berkata, sambutan yang diterimanya ketika melawat PDM di kawasan Parlimen tersebut amat baik dan menyatakan sokongan terhadap Suhaizan.
Tambahnya, parti telah membuat keputusan bahawa akan mengadakan program bersama untuk Suhaizan bagi menampakkan kesepakatan antara gabungan PH dan BN sekali gus memenangkan beliau di kerusi Parlimen Pulai.
"Semalam, saya bertemu dengan tujuh ketua cawangan daripada dua PDM di Kampung Pasir, Sri Serdang dan beberapa PDM pada hari ini, tiada seorang pun ketua cawangan menyatakan tak setuju tentang calon.. Jadi, saya anggap itu hanyalah propaganda pihak mereka untuk memecahbelahkan perpaduan.
"Datuk Ramli akan menyelaras dan membantu segala program yang dihadiri calon, saya amat yakin bahawa tidak ada seorang pun daripada rakan UMNO dan BN tak bersetuju dengan beliau, kita sudah sampai tahap kematangan politik yang membawa kepada usaha kebersamaan ini," katanya.
Menurutnya, orang luar mungkin tidak faham sebab Ketua dan Timbalan UMNO Bahagian Pulai tidak bertanding di kawasan itu sebaliknya memberi laluan kepada calon dari Parti Amanah Negara (Amanah).
"Mereka tak tau bahawa Ketua UMNO Bahagian Pulai yang sebelum ini menjadi calon telah dilantik sebagai Senator dan Timbalan Speaker Dewan Negara, jadi tidak ada keperluan untuk bertanding.
"Timbalan Ketua Bahagiannya pula sudah bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Johor, mereka sudah punyai tempat dan jawatan politik, jadi kita tak perlu tamak dalam pegang jawatan ini," katanya.