SHAH ALAM - Hujan lebat serta ribut di beberapa kawasan di Ampang dan Serdang menyebabkan berlaku kejadian pokok tumbang serta bumbung diterbangkan angin.
Kejadian yang dilaporkan berlaku sekitar jam 4 petang Ahad itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan bumbung diterbangkan angin di Taman Ampang Hilir, Ampang, pada jam 4.49 petang.
"Seramai lima anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ahmad Mukhlis berkata, setibanya di lokasi, pihaknya mendapati bumbung di flat dan bumbung gerai di kawasan tersebut diterbangkan angin telah menghalang laluan masuk ke kawasan perumahan teres.
"Kita mengalihkan bumbung yang menghalang laluan tersebut bersama dengan pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan orang awam.
"Setelah memastikan keadaan sekeliling selamat dan tiada lagi unsur yang mengancam keselamatan penduduk, tindakan selanjutnya diserahkan kepada MPAJ dan Polis Diraja Malaysia," katanya.
Dalam kejadian berasingan, dua kenderaan di sebuah pangsapuri Taman Bukit Serdang di Serdang, mengalami kerosakan dihempap pokok.
Ahmad Mukhlis berkata, sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat bersama jentera dari BBP Serdang pergi ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada jam 6.56 petang.
"Setibanya di lokasi, kita mendapati sebuah Proton Saga dan sebuah Perodua Alza dihempap pokok.
"Kita berjaya mengalihkan dahan pokok itu, tiada mangsa terlibat dalam insiden tersebut," katanya.