BERMAIN di hadapan lebih 6,000 penyokong tidak langsung memberi kelebihan buat pasukan Perak FC apabila dibelasah 4-0 di tangan Kuala Lumpur (KL) City FC dalam saingan Liga Super di Stadium Perak di Ipoh pada Ahad.
Minit awal perlawanan menyaksikan permainan seimbang bagi kedua-dua pasukan yang saling mencari ruang melancarkan serangan.
Bagaimanapun pasukan pelawat dilihat lebih tersusun dari sudut hantaran dan permainan manakala Perak FC serba tidak menjadi apabila penyerang mereka buntu mencipta peluang
Ketika perlawanan memasuki minit ke-29, Perak FC dihukum menerusi penyerang KL City FC, Tchetche Kipre akibat kesilapan dilakukan Sunday Afoelabi menjadikan kedudukan 1-0.
Tersentak dengan jaringan itu, Perak FC mula mengatur gerak dengan beberapa percubaan menerusi tiga sepakan penjuru namun tidak berhasil mencipta jaringan.
Ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah membuat pertukaran pertama seawal minit ke-41 menggantikan Firdaus Sayadi dengan Azalinullah Alias.
Tamat separuh masa pertama menyaksikan keputusan kekal 0-1 dengan pasukan pelawat mendahului.
Bersambung babak kedua, gawang Perak FC bolos lagi menerusi jaringan pemain tengah KL City FC, Sebastian Avanzini sekaligus menyaksikan tuan rumah ketinggalan 0-2.
Perak FC berpeluang membuka jaringan menerusi percubaan Wan Zack Haikal namun rembatannya sekadar menggegarkan palang gol.
Pasukan KL City FV terus menambah derita tuan rumah dengan kali ini menerusi jaringan kapten pasukan, Paolo Josue yang menewaskan penjaga gawang Perak FC, T Shaheeswaran sekaligus menjadikan kedudukan 3-0.
Di sebalik beberapa pertukaran pemain yang dilakukan Yusri, Perak FC gagal memberi tekanan kepada pertahanan lawan untuk mendapatkan gol dalam perlawanan terakhir di tempat sendiri dalam saingan Liga Super.
Malah ketika perlawanan menghampiri tiga minit terakhir masa penuh, KL City FC terus berpesta gol dengan jaringan keempat tanpa balas menerusi pemain gantian, Sean Gan.
Tamat perlawanan menyaksikan keputusan 0-4 kekal memihak kepada KL City FC yang menumpaskan Perak FC.