Kadang-kadang turun, tapi selalunya naik

Iklan
Gunakan kuasa pengguna yang ada pada kita, buat aduan jika berlaku kenaikan harga ayam yang melampau. - Gambar hiasan

AYAM menjadi pilihan kebanyakan pengguna di negara ini baik golongan marhaen mahupun kayangan. Tidak lengkap meja hidangan andai tiada lauk ayam yang disajikan.

Dilaporkan, rakyat Malaysia kebanyakannya memilih ayam untuk sumber protein. Untuk 100 gram ayam, ia membekalkan 27 gram protein yang menyamai 54 peratus daripada keperluan zat harian manusia.

Iklan
Iklan

Isu konsumer yang sering diperkatakan mengenai ayam adalah harganya yang tidak menentu - adakala turun, namun selalunya naik.

Walaupun harga siling ditetapkan pada RM9.40 sekilogram, tetapi boleh mencecah sehingga belasan ringgit, itu pun jika caj perkhidmatan yang dikenakan peniaga tidak keterlaluan.

Iklan

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan pada 26 Mac lalu berkenaan Indeks Harga Pengguna (IHP) Februari 2023 berkata, purata harga ayam standard pada bulan Februari 2023 meningkat kepada RM10.33 sekilogram berbanding RM9.46 pada Februari tahun lalu.

Tambahnya, purata harga bahan mentah itu di Semenanjung Malaysia ialah RM9.76 sekilogram berbanding RM8.94 sekilogram pada Februari 2022, melebihi paras harga kawalan ditetapkan kerajaan iaitu RM9.40.

Iklan

Tinjauan Sinar Harian di beberapa negeri pada minggu lalu mendapati harga ayam semakin naik. Di Pulau Pinang misalnya, harga ayam segar naik sehingga RM1.50 menjadikan bahan mentah itu dijual RM9.40 hingga RM10.90 sekilogram.

Seorang peniaga ayam di Georgetown, Mohd Hafizi Mat Saad memberitahu, harga tersebut tidak menentu sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, harga ayam pada awal bulan Ogos turun, bagaimanapun beberapa hari sebelum pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu, harganya naik semula.

Di Kelantan pula, seorang peniaga ayam di Kok Lanas, Danial Izani turut mengakui harga ayam di negeri itu meningkat RM1.50 beberapa hari sebelum PRN.

Menurut laporan Sinar Harian pada 15 Ogos lalu, Pengarah Urusan Bismi Empire, Mazlina Kamarudin berkata, bekalan ayam berkurangan sejak beberapa hari lalu menjadi punca harga bahan mentah itu terpaksa dinaikkan kembali RM9 hingga RM9.28 sekilogram.

Pembekal dan peladang ayam di Alor Setar itu berkata, harga ayam terpaksa dinaikkan untuk menampung operasi selain mengelakkan kerugian kepada penternak.

Bagaimanapun, katanya, harga itu masih relevan dan tidak melepasi harga siling RM9.40 ditetapkan kerajaan.

Mengulas mengenai peningkatan harga ayam, Persatuan Pengguna Kedah (Cake) berharap kerajaan mencari mekanisme terbaik bagi menangani kenaikan itu berikutan bekalan ayam dilaporkan berkurangan beberapa hari lepas.

Presidennya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, harga siling RM9.40 sekilogram bagi ayam standard di pasaran dirasakan masih tinggi.

Ujarnya, harga ayam termasuk organ dalaman yang dijual di pasaran mampu mencecah RM18 hingga RM25 seekor.

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dalam kenyataan pada 16 Ogos lalu menasihatkan orang ramai agar tidak panik dengan dakwaan berlakunya kekurangan bekalan ayam hingga menyebabkan harga bekalan itu naik.

DVS memaklumkan, pihaknya tidak menerima laporan kekurangan bekalan ayam di peringkat ladang selain tidak menerima laporan wujudnya wabak penyakit ayam yang mengakibatkan kematian secara besar-besaran.

Persoalannya, jika bekalan ayam mencukupi, mengapa pula timbul isu kenaikan harga ayam.

Menurut profesor ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng, ramai pengeluar ayam mengalami kerugian dan tidak dapat mengekalkan kos pengeluaran di bawah harga siling ditetapkan kerana peningkatan kos makanan import, kenaikan gaji minimum serta kekurangan buruh. Hal itu juga menyebabkan banyak ladang ayam ditutup.

Jelasnya, kebanyakan makanan ayam di negara ini adalah diimport dengan makanan haiwan itu merangkumi 70 peratus daripada kos keseluruhan selain logistik, buruh, utiliti dan ubat-ubatan.

Sementara pakar ekonomi, Profesor Dr Chung Tin Fah dari HELP University pula menyatakan bahawa ringgit yang lebih rendah juga menyaksikan negara membeli makanan ayam pada harga jauh lebih tinggi.

Ulas beliau, harga minyak mentah, kos pengangkutan dan kos bahan lain juga berlaku peningkatan.

Walau apa pun alasan di sebalik ketidaktentuan harga ayam, sebagai pengguna kita perlu bijak dalam membuat pilihan. Gunakan kuasa pengguna yang ada pada kita, buat aduan jika berlaku kenaikan harga yang melampau.

*Puperahaizad Darsono ialah Penyunting Sinar Harian