MERAK Jalanan terbaca satu berita di sebuah portal tempatan melaporkan kenyataan seorang ketua kampung di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram yang berharap masalah banjir kilat di kawasannya dapat diatasi segera.
Menurut ketua kampung itu, banjir kilat bukan perkara baharu di situ tetapi sudah lima tahun berlaku. Puncanya kerana sistem perparitan yang tidak diselenggarakan dengan baik.
Tak pasti mana mana silapnya, tetapi Merak Jalanan dapat bayangkan keperitan dihadapi penduduk kampung tersebut terutama yang tinggal di sekitar Sungai Abong.
Bagi Merak Jalanan, kalau masalah itu bermula sejak lima tahun lalu, sepatutnya sekarang sudah diselesaikan pihak berwajib. Barangkali sebab-sebab peruntukan, pentadbiran atau isu-isu teknikal, masalah itu lambat diselesaikan. Husnuzon sajalah.
Apa pun, pada pendapat Merak Jalanan, mahu tak mahu masalah itu mesti diselesaikan segera, tidak boleh sesekali dipandang ringan.
Seperti diketahui umum, DUN Sungai Jeram kini sedang mengadakan satu ‘temasya’ untuk memilih wakil rakyat baharu di kawasan itu.
Kempen sudah bermula Sabtu lalu, dan parti-parti politik bertanding juga telah meletakkan calon mereka untuk menambat hati para pengundi.
Dalam kempen ini, sudah tentu ‘lagu dan irama’ mengenai infrastruktur, kesejahteraan rakyat akan didendangkan kepada rakyat termasuk membuat tawaran itu dan ini.
Tidak kisahlah apa lagu yang hendak didendangkan, akan tetapi permasalahan yang dihadapi rakyat perlu diselesaikan segera. Rakyat tidak mahu menunggu lama.
Tapi Merak Jalanan yakin, wakil rakyat yang menang nanti pasti berupaya untuk menyelesaikan masalah diutarakan ketua kampung tersebut.
Merak Jalanan harap masalah tersebut tidak lagi kedengaran pada pilihan raya negeri lima tahun lagi.