Aaron-Wooi Yik alih tumpuan ke Sukan Asia Hangzhou 2022

Iklan
Aaron (kiri) dan Wooi Yik terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa setelah tewas kepada pasangan Korea Selatan dalam aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia di Denmark pada Ahad. - Foto Badminton Photo

BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik enggan menoleh ke belakang lagi apabila mahu fokus kepada Sukan Asia Hangzhou 2022 pada September setelah tersingkir dalam saingan separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen pada Ahad.

Mereka mahu melupakan episod duka di Denmark itu dan ingin kekal positif untuk memburu pingat emas pada temasya di China bulan depan.

Iklan
Iklan

Aaron-Wooi Yik tumpas kepada gandingan keenam dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 21-23, 13-21 dalam aksi yang berlangsung Royal Arena dan berpuas hati membawa pulang pingat gangsa.

"Saya fikir yang lepas biarlah lepas. Fokus selepas ini buat persiapan untuk Sukan Asia. Itu sasaran utama untuk seterusnya,” kata Aaron.

Iklan

Aaron juga mengakui Min Hyuk-Seung Jae beraksi lebih baik dan mempamerkan aksi meyakinkan berbanding mereka.

"Pada set pertama, kami mendahului tiga atau empat mata. Namun ketinggalan ketika mengejar mata-mata penting,

Iklan

"Saya rasa kami perlu belajar untuk tenang dan lebih fokus kerana boleh dilihat yang kami mempunyai peratusan lebih baik untuk menang set pertama tetapi kalah,” ujar Aaron.

Sehubungan itu Aaron dan Wooi Yik memohon maaf kepada peminat negara atas kegagalan mereka mempertahankan kejuaraan Kejohanan Badminton Dunia tersebut.

"Kami mempunyai keinginan tinggi untuk pergi jauh dalam kejohanan ini, tapi kecewa. Kami inginkan pencapaian terbaik, namun gangsa sudah memadai. Kami memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia,” kata Aaron.

Dalam pertemuan sulung dengan gandingan dari Korea Selatan itu, Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking keempat dunia memulakan perlawanan dengan baik, sehingga mendahului 19-15.

Bagaimanapun Min Hyuk-Seung Jae mempamerkan kebangkitan menakjubkan untuk menafikan kemenangan pasangan negara.

Min Hyuk-Seung Jae mengekalkan momentum positif pada set kedua untuk mengesahkan kemenangan secara straight.

Sebagai rekod, tahun lalu, Aaron-Wooi Yik muncul selaku pemain pertama negara yang meraih gelaran dunia di Tokyo, Jepun selepas menewaskan beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14.