PENGENDALI Perak FC, Yusri Che Lah mengakui sukar menerima kekalahan besar ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC ketika pasukan memerlukan mata untuk terus kekal bersaingan dalam Liga Super.
Beliau tidak menjangkakan keputusan seperti itu memandangkan kesebelasan pemain diturunkan tidak jauh berbeza dengan dua perlawanan sebelumnya.
Menurutnya, bagaimanapun kekalahan tersebut disifatkan sebagai satu hikmah untuk pasukan memperbaiki kelemahan menjelang perlawanan berikutnya.
"Saya merasakan hari ini kita beraksi di bawah paras sebenar. Itu memang kita akui. Terima kasih kepada KL kerana memberikan gambaran sebenar kepada kita tentang kelemahan yang perlu diperbaiki.
"Kita memang inginkan tiga mata sebenarnya. Kalau tidak dapat memenangi perlawanan ini, sekurang-kurangnya kita seri, itu lebih memadai tapi kita perlu akui kita kalah dengan pasukan yang kuat dan hebat," katanya kepada pemberita selepas perlawanan Liga Super di Stadium Perak di Ipoh pada Ahad.
Dalam pada itu, Yusri mahu pemain segera bangkit di sebalik kekalahan itu bagi mengharungi baki perlawanan akan datang.
Menurutnya, kerja keras perlu dilakukan untuk memastikan kelemahan dapat diatasi segera.
Jelasnya, tempoh rehat selama tiga minggu akan dimanfaatkan sebaik mungkin menjelang pertemuan dengan Sabah FC di Likas nanti.