JURGEN Klopp memberi pujian kepada Darwin Nunez selepas penyerang Liverpool menjaringkan dua gol ketika The Reds yang beraksi 10 pemain, bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Newcastle United 2-1 dalam pertembungan sengit Liga Perdana Inggeris di St James Park pada Ahad.
Pemain Uruguay berusia 24 tahun itu berstatus disisihkan musim ini, namun jaringan lewat perlawanan menentang Magpies menyaksikan kualiti terbaiknya menghadirkan keyakinan Klopp untuk memberikan Nunez lebih banyak peluang,
"Dia jelas bersemangat kerana tidak bermain, tidak diletakkan dalam kesebelasan utama apabila meletakkan semua tenaga dalam dua percubaan itu.
"Ya, ia adalah persembahan yang sangat matang dan dua gol bertaraf kelas dunia," kata Klopp.
Jaringan minit ke-81 diikuti minit ke-93 Nunez memadamkan gol awal bintang muda Newcastle United berusia 22 tahun Anthony Gordon pada minit ke-25 separuh masa pertama.
Liverpool terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Virgil van Dijk dilayangkan kad merah pengadil John Brooks selepas kapten The Reds kelahiran Belanda tersebut mengasari bintang Sweden, Alexander Isak pada minit ke-28.
Dalam pada itu, Klopp juga menyifatkan kemenangan di bumi Newcastle itu sebagai salah satu kemenangan terbaik dalam karier penglibatan dalam industri tersebut.
"Ia adalah awal musim, Liverpool perlu mencari kestabilan. Kami perlu mencari formasi yang diperlukan pasukan untuk mendapatkan keputusan, dan kemudian bermain setiap tiga hari. Semua orang akan bermain, tidak ada keraguan tentang itu.
"Sudah tentu, seorang penyerang menjaringkan dua gol dan anda boleh lihat senyuman di wajahnya," tambah Klopp.
Kekalahan gol tunggal berturut-turut kepada Manchester City dan Liverpool menyebabkan pengendali Newcastle, Eddie Howe menyifatkannya satu cabaran yang perlu disahut secara positif para pemain The Magpies.
"Terdapat banyak kebaikan dalam perlawanan berintensiti tinggi ini. Akan ada banyak emosi.
"Kami telah mengharungi tiga perlawanan pembukaan yang sangat sukar, menang satu dan kalah dua.
"Dua yang kami kalah tewas dengan margin yang paling kecil apabila menentang dua pasukan terbaik dalam Liga Perdana Inggeris," kata Howe.