Cubaan seludup rokok bernilai RM2 juta gagal

Iklan
Paul (tengah) menunjukkan rokok bernilai hampir RM2 juta yang dirampas Polis Marin, awal pagi semalam.

MUAR- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 berjaya mematahkan cubaan penyeludupan rokok tak sah membabitkan nilai hampir RM2 juta, awal pagi semalam.

Komander PPM Wilayah 2 Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, terdahulu pihaknya bersama Pasukan Polis Marin Bukit Aman dan Unit Gempur Marin (UNGERIN) PPM W1 Port Klang mengesan kegiatan itu selepas menahan sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Jalan Pintasan Bakri, di sini.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, hasil pemeriksaan menemui 110,000 kotak rokok putih dengan anggaran nilai RM1.892 juta.

"Dalam kejadian semalam, kita telah mengekori sebuah lori sejauh 30 kilometer bermula dari Parit Sulong, Batu Pahat dan menahannya di Jalan Bakri, di sini pada jam 4 pagi.

Iklan

"Selepas menjalankan pemeriksaan, didapati lori dengan muatan lima tan ini telah menyimpan 220 kotak berwarna coklat berisi rokok putih,” katanya.

Paul (kanan) bersama Pegawai PPM W2 Muar, Deputi Superintendan Nordin Osman menunjukkan karton rokok yang disimpan dalam sebuah kotak.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Jeti Pangkalan PPM Wilayah 2 Muar, sebentar tadi. Turut hadir Pegawai Operasi dan Risikan Marin Bukit Aman, Superintendan Rusley Chi Ari.

Iklan

Menurut Paul, pemandu lori berusia 42 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut dan membawa barang yang dilarang.

Katanya, siasatan awal mendapati modus operandi sindiket ini berbeza apabila rokok seludup dibawa masuk dari negara jiran menerusi jalan darat berbanding penyeludupan menggunakan jalan laut.

Mereka kini sedang menjalankan siasatan rapi dengan dibantu Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi mengenal pasti bagaimana rokok-rokok dengan jumlah yang besar itu berjaya diseludup mengikut jalan darat.

"Kesemua rokok tak sah ini dipercayai dibawa untuk pasaran ke Lembah Klang.

"Kami yakin sindiket ini mempunyai rangkaian dengan rampasan yang dibuat di sekitar Johor Bahru baru-baru ini," katanya.