WATAK animasi kesukaan ramai terutama kanak-kanak seperti Ejen Ali, Mechamato dan Boboiboy merupakan antara tarikan perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2023 yang akan diadakan di Dataran Putrajaya, Khamis ini.
Tidak ketinggalan watak Omar&Hana, Keluang Man dan Tiong Man yang akan turut serta dalam perbarisan dan perarakan berkenaan di bawah Kontinjen Industri Kreatif dan Penyiaran.
Pengendali maskot di bawah Syarikat Animonsta Studios Sdn Bhd (Monsta), Muhammad Azrul Fazlan Hamdan berkata, pihaknya sedang giat melakukan persiapan bagi memberikan yang terbaik kepada pengunjung terutama golongan kanak-kanak.
"Persiapan adalah dari segi memastikan tahap kesihatan talent atau orang yang mengenakan maskot itu dalam keadaan baik kerana kami perlu berada di Dataran Putrajaya seawal 4.30 pagi sehingga majlis sambutan Hari Kebangsaan,” katanya kepada Bernama baru-baru.
Monsta merupakan syarikat berpangkalan di Cyberjaya yang menerbitkan empat program animasi dalam negara iaitu Mechamato, Boboiboy, Papa Pipi dan Fly With Yaya.
Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi maskot ketika perbarisan dan perarakan, Muhammad Azrul berkata, pemakai maskot perlu pandai berinteraksi memandangkan pengunjung Hari Kebangsaan akan mengambil peluang untuk bergambar dengan karakter kesukaan.
Selain itu, pemakai maskot perlu kuat dari segi mental dan emosi kerana terpaksa berada dalam keadaan kurang pengudaraan selama beberapa jam dan akan mengalami kesukaran jika perlu ke tandas dan sebagainya.
"Antara pantang larang pemakaian maskot ialah talent tidak boleh buka kepala maskot dan dedahkan siapa mereka sebab nanti ia kemungkinan mengubah persepsi kanak-kanak yang melihat karakter animasi kesukaan mereka,” katanya dan menambah setiap maskot akan bersama seorang pengiring bagi tujuan membantu maskot.
Sementara itu, pengurus maskot Omar&Hana, Mohd Shahrulhikmi Kamaruddin berkata, kali ini merupakan yang kedua karakter berkenaan menyertai perarakan Hari Kebangsaan dan menzahirkan rasa teruja untuk menjayakan sambutan itu.
"Untuk perarakan nanti mungkin ada tarian ‘enjit enjit semut’ oleh kesemua 20 karakter animasi yang terlibat, namun masih dalam perbincangan,” katanya.
Omar&Hana merupakan siri animasi Malaysia bertemakan Islam terbitan Digital Durian dan yang kedua selepas Didi & Friends.
"Dari segi pemakaian maskot untuk Omar senang sahaja dalam 10 minit, tetapi untuk Hana ambil masa sedikit kerana perlu memasang aksesori sampingan.
"Cabarannya ialah kadang-kadang adik-adik kecil mengerumuni maskot untuk bergambar, ada yang ketuk kepala maskot dan mengakibatkan ketidakselesaan namun pengiring akan memastikan maskot selesa,” katanya.
Kemuncak sambutan Hari Kebangsaan 2023 bertemakan 'Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan' akan berlangsung di Putrajaya pada 31 Ogos.
Sambutan di Putrajaya kali ini adalah yang kelima selepas kali pertama pada 2003, disusuli 2005, 2018 dan 2019.
Dianggarkan bilangan pengunjung akan menjangkau 100,000 orang dan persiapan bagi menjayakan sambutan Hari Kebangsaan 2023 giat diatur pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta dan badan bukan kerajaan. - Bernama