Suami isteri diikat, diacu parang penyamun bertopeng

Iklan
Azlan Shah menunjukkan keadaan rumahnya yang berselerak digeledah penyamun dalam kejadian awal pagi Ahad.

HULU TERENGGANU - Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila kedua tangan diikat penyamun yang memecah masuk rumah mereka di Kampung Nibong, Kuala Berang di sini awal pagi Ahad.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu rumah mereka dimasuki sekumpulan lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang sebelum melarikan wang tunai dan barangan kemas dianggarkan bernilai lebih RM40,000.

Iklan
Iklan

Mangsa, Azlan Shah Mat Room, 36, berkata, dia tidak menyedari rumahnya dimasuki penyamun dan hanya perasan sebaik ternampak dua hingga tiga orang lelaki berdiri di hadapan pintu bilik tidurnya.

"Waktu rumah kena masuk tu saya sedang bersiap untuk tidur. Memang pintu bilik saya tak kunci dan biarkan terbuka sebab takut tak dengar anak menangis di bilik tidur sebelah.

Iklan

"Sebelum tu saya ada dengar bunyi benda kena tarik tapi saya ingatkan bunyi lembu. Rupanya bunyi tingkap bilik tidur anak saya dipecah masuk penyamun," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Isnin.

Azlan Shah menunjukkan langsir rumah yang dikoyakkan penyamun untuk mengikat dia dan isteri dalam kejadian awal pagi Ahad.

Azlan Shah berkata, sebaik penyamun menyedari, mereka terus menerpa ke arahnya dan memaksa dia meniarap sambil mengikat kedua-dua tangannya.

Iklan

"Isteri saya yang waktu tu dah tidur pun mereka kejut dan ikat kedua belah tangan," katanya.

Dia berkata, kumpulan penyamun itu merampas rantai yang dipakai isterinya, Zaleha Mamat Don, 34 selain memaksa menyerahkan barangan kemas yang lain serta wang tunai bernilai RM3,000.

Katanya, penyamun itu turut mengacukan parang kepadanya serta memijak badan isterinya sewaktu mereka enggan memberitahu di mana barangan kemas diletakkan.

"Habis satu rumah kena geledah. Mereka ambil semua duit termasuk dari tabung simpanan anak. Saya dan isteri masih trauma dengan kejadian sebab ini kali pertama berlaku sepanjang kami tinggal di sini.

"Mujurlah sepanjang hampir dua jam kami diikat, kedua-dua anak masih tidur dan tidak menyedari kejadian itu berlaku. Kami dilepaskan sekitar jam 3 pagi sebelum kumpulan penyamun itu melarikan diri," ujarnya.

Azlan Shah memberitahu, pada malam kejadian dia berasa tidak sedap hati kerana mengetahui dua buah rumah di sekitar kampung itu telah dimasuki penyamun pada malam Sabtu.

"Malam tu (Ahad) saya bawa keluar anak dan isteri ke rumah bapa saudara di sebelah rumah. Dekat pukul 12 tengah malam baru saya balik ke rumah.

"Tidak lama selepas tu barulah rumah saya dimasuki penyamun. Mungkin mereka dah tunggu kami balik untuk masuk dan paksa kami serahkan barangan berharga," katanya yang telah 10 tahun tinggal di situ.

Ujarnya, laporan polis dibuat di Balai Polis Kuala Berang di sini, sekitar jam 3.30 pagi.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintenden Raja Saripah Robiah Raja Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.