Bot bawa tujuh pelancong, dua kru terbalik di Teluk Batik

Iklan
Keadaan bot penumpang yang terbalik di Pantai Teluk Batik kira-kira sembilan meter dari persisir pantai pada Isnin. Foto: Bomba Perak

MANJUNG - Sembilan individu terselamat apabila bot penumpang dinaiki terbalik di Pantai Teluk Batik kira-kira sembilan meter dari persisir pantai dekat sini pada Isnin.

Berdasarkan maklumat awal, kejadian sekitar jam 10.45 pagi itu melibatkan tujuh pelancong tempatan dan dua kru berusia antara tiga hingga 34 tahun.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, tindakan pantas orang awam berjaya membawa semua mangsa ke darat.

Menurutnya, daripada sembilan mangsa itu, dua daripada mereka iaitu remaja lelaki kurang upaya (OKU) berusia 17 tahun dan wanita 34 tahun terpaksa diberikan rawatan kecemasan.

Iklan

"Remaja lelaki itu telah sedar sebaik diberikan bantuan pernafasan (CPR) dan dibawa ke hospital oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba.

"Sementara seorang lagi masih tidak sedarkan diri berada dalam rawatan pihak hospital," katanya.

Iklan

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika bot berkenaan menjalankan aktiviti rekreasi di pantai peranginan tersebut.

Katanya, bot dikendalikan dua kru itu membawa tujuh orang daripada dua keluarga termasuk kanak-kanak berusia tiga dan enam tahun yang datang melancong.

"Bomba menerima panggilan daripada orang awam pada jam 10.58 pagi dan jentera tiba tepat pada jam 11.15 pagi.

"Sebaik sampai di lokasi kejadian, didapati semua mangsa telah dibawa ke darat oleh orang awam," katanya.

Operasi diketuai Pegawai operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Ismadi Darusman itu tamat pada jam 12.15 tengah hari.