Wajib pamer tanda harga: KPDNHEP Raub

Iklan
Abdul Mubin (kiri) bersama anggotanya melakukan pemantauan di 35 premis perniagaan di sekitar daerah Raub, Khamis lalu.

RAUB - Peniaga yang menjalankan perniagaan di bazar Ramadan di seluruh daerah ini diwajibkan mempamerkan tanda harga bagi setiap barangan yang dijual.

Ketua Cawangan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Raub, Abdul Mubin Ahmad berkata, ini dilakukan bagi memastikan tidak timbul kekeliruan dalam kalangan pengguna dan pengunjung bazar Ramadan

Iklan
Iklan

Menurutnya, tiada pengecualian diberikan kepada golongan peniaga walaupun kebanyakannya hanya menjalankan aktiviti itu pada bulan Ramadan.

"Kita akan buat pemantauan berterusan terhadap peniaga bazar sepanjang Ramadan dan permulaan kita hanya memberi amaran kepada peniaga itu supaya mempamer tanda harga.

Iklan

"Sekiranya ada peniaga yang masih berdegil, tindakan undang-undang akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang boleh dikenakan denda RM 50,000 atau dua tahun penjara bagi perseorangan manakala bagi syarikat akan didenda sebanyak RM 100,000," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Abdul Mubin berkata, selain pemantauan harga di bazar ramadan, pihaknya juga komited menjalankan pemeriksaan dan operasi pada setiap hari bagi memastikan kawalan harga barang mentah berada pada tahap yang sewajarnya.

Iklan

Menurutnya, pihaknya ingin memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan sempena bulan Ramadan

"Sehingga hari ini, kita masih tidak mendapat sebarang aduan tentang kenaikan harga barangan secara mendadak oleh peniaga.

"Namun pihak KPDNHEP sentiasa mengambil tindakan proaktif dengan melakukan pemantauan rapi terhadap peniaga bagi mengelakkan kenaikan harga barang.

"Kita tidak mahu ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan keperluan sepanjang musim ini pemantauan serta pemeriksaan akan sentiasa dilakukan," katanya.

Sementara itu, beliau menasihatkan kepada semua peniaga agar mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada bagi mengelakkan tindakan tegas dikenakan termasuk didakwa di mahkamah.

"Pemantauan dilakukan setiap hari namun hasil pemeriksaan kita di 35 premis pada Khamis lalu kita berjaya menangkap seorang peniaga yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.

"Suspek boleh didakwa mengikut Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat 1972 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM40,000 atau tiga tahun penjara dan alat timbang boleh dirampas.

Sehubungan itu, KPDNHEP menggesa orang ramai supaya melaporkan sekiranya menjumpai atau mengesyaki mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan supaya tindakan lanjut boleh diambil dan mengelakkan kegiatan penipuan berleluasa.