Pemilihan MCA pada 23, 24 September depan

Iklan
Pengumuman hari pengundian bagi Pemilihan Jawatankuasa Pusat Pemuda dan Wanita MCA dibuat Sin Woon di Facebook rasmi MCA pada Isnin.

SHAH ALAM - Hari pengundian bagi Pemilihan Jawatankuasa Pusat Pemuda dan Wanita MCA akan diadakan selama dua hari iaitu 23 dan 24 September depan, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 11 September.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon memaklumkan, selepas selesai proses pengundian, pihaknya akan melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 21 dan 22 Oktober depan.

Iklan
Iklan

"Bagi Pemilihan MCA, sebanyak 160 Tempat Mengundi (TM) disediakan, termasuk 149 TM Tunggal serta 11 TM Bergabung yang digunakan oleh beberapa bahagian di seluruh negara.

"Selain itu untuk Pemuda dan Wanita pula, ia membabitkan 155 TM termasuk 147 TM Tunggal serta lapan TM Bergabung. Petugas yang terbabit dengan proses pembuangan undi, mengira kertas undi serta memantau adalah seramai 2,979 orang," katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi MCA pada Isnin.

Iklan

Dalam pada itu beliau mengingatkan, hanya perwakilan bahagian bertugas iaitu yang terbabit dengan kerja-kerja mengundi, mengira dan memantau dibenarkan membuang undi lebih awal di bahagian masing-masing pada pukul 12.30 tengah hari, manakala selebihnya boleh mengundi antara pukul 2 petang hingga 7 malam.

Semakan mengenai TM serta mencetak Handbill pula perlu dilakukan melalui portal rasmi Pemilihan MCA di http://mcape.mca.org.my/ dengan menekan butang ‘Semakan’, bermula pukul 12 tengah hari Isnin.

Iklan

"Bersempena pemilihan ini, Jawatankuasa Pemandu Pemilihan Ibu Pejabat MCA akan menghantar ‘Notis Mesyuarat Agung Tahunan’ kepada seluruh Perwakilan Pusat MCA, Pemuda dan Wanita serta ‘Notis Pemilihan Jawatankuasa Pusat bagi MCA, Pemuda dan Wanita’ kepada seluruh Perwakilan melalui aplikasi dalam talian.

"Mereka yang berumur 65 tahun ke atas dan tidak mempunyai nombor telefon akan menerimanya melalui surat. Saya juga menyeru kepada semua Pengerusi Bahagian dan Cawangan di seluruh negara supaya mengingatkan perwakilan bahagian masing-masing untuk mengundi tepat pada masanya di TM berkenaan pada hari mengundi.

"Saya juga berharap kepimpinan Bahagian dan Cawangan dapat menggalakkan ahli mereka memberi atau mengemas kini nombor telefon bimbit masing-masing kepada Ibu Pejabat supaya menerima maklumat terbaharu daripada parti,” katanya.