JOHOR BAHRU - Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros mendakwa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dilihat lebih menjurus kepada pertembungan Johor melawan anasir luar apabila ramai 'pencatur politik' hadir dari seluruh negara dan mencampuri urusan negeri ini.
Menurutnya, senario berkenaan menjadikan soal Pulai dan Simpang Jeram lebih besar daripada soal Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) lawan Perikatan Nasional (PN0 pada PRK kali ini.
"Pertaruhan terpenting dalam PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram ini bukan soal PH-BN melawan PN; hakikatnya, ini adalah pertembungan Johor melawan anasir luar.
"Dalam PRK ini, lihatlah begitu ramai para 'pencatur politik' diterbangkan dari seluruh negara; dari utara, bahkan dari timur tanah air yang mana masing-masing tidak dapat menyembunyikan keinginan untuk mencampuri urusan kita di selatan.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandang yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, 24 Julai lalu.
Sementara itu, Noor Azlen berharap agar rakyat negeri ini dapat bersatu dan dapat mengetepikan apa juga sentimen buat sementara dalam keadaan yang sangat getir ketika ini.
"Ada mudarat yang lebih besar di hadapan kita... jadi ketepikanlah apa juga sentimen yang ada.
"Ini kerana anak Selatan menolak perpecahan. Kita pilih perpaduan, wawasan dan kemakmuran," katanya.