IPOH - Peniaga diingatkan untuk tidak melanggar peraturan di bawah Enakmen Jenayah Syariah dengan menjual makanan kepada pelanggan muslim yang tidak berpuasa.
Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar bandar dan Pembangunan Usahawan Perak, Asmuni Awi berkata, kegiatan 'plastik hitam' merupakan satu tindakan yang tidak menghormati kemurnian dan kesucian bulan Ramadan.
"Ada peruntukan di bawah Enakmen Jenayah Syariah yang melarang jualan makanan pada waktu siang kepada premis yang diusahakan oleh orang Islam.
"Semua pihak perlu menghormati enakmen tersebut, jangan sesekali mencabarnya hingga mencemarkan kesucian bulan Ramadan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Bazar Ramadan Silibin di sini semalam.
Menurutnya, kegiatan itu boleh dikategorikan sebagai terpencil namun, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan buat pemeriksaan berdasarkan aduan yang diterima.
"Walaupun kegiatan plastik hitam ini tidak berleluasa, ada premis yang masih berdegil meneruskan jualan meskipun pernah diperiksa beberapa kali sebelum ini.
"Kerajaan negeri tidak menghalang sesuatu perniagaan namun, perlulah mengikut peraturan yang ditetapkan misalnya membuka premis di waktu petang dan tidak menjual makanan kepada mereka yang tidak berpuasa," katanya.
Terdahulu beliau yang juga ADUN Manjoi bersama Majlis Bandaraya Ipoh telah mengedarkan apron dan topi kepada semua peniaga bazar.