SHAH ALAM - Badan urus tadbir teknologi digital yang memberikan garis panduan dan menguat kuasa undang-undang agar ia tidak mengancam keamanan dunia perlu diwujudkan.
Perkara itu disuarakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan ucaptama yang bertajuk Pendigital Keluarga Dunia Untuk Keamanan Sejagat di Thai Global Business Administration Technological College Bangkok, Thailand pada Isnin.
Menurut Ismail Sabri, masyarakat antarabangsa perlu melihat perkara itu secara serius bagi memastikan teknologi berkenaan digunakan untuk mempromosikan keamanan sejagat.
"Kebergantungan ini telah mengubah hidup manusia. Malah pada hari ini, wujud kebimbangan bahawa teknologi digital bukan lagi sebagai satu alat tetapi ia sedang memperalatkan manusia.
"Pada masa kini, kita kekurangan institusi atau perundangan di peringkat antarabangsa untuk memastikan teknologi digital tidak merosakkan manusia," katanya.
Tambahnya, banyak pihak telah menggunakan algoritma media sosial seperti Facebook untuk mencerap sentimen semasa masyarakat seiring dengan data raya yang menjadi trend masa kini.
Justeru katanya, komunikasi strategik amat diperlukan untuk menyampaikan mesej keamanan kepada lebih ramai orang atau berbeza kelompok individu melalui pelbagai platform digital berdasarkan data-data yang dianalisis.
"(Jadi adalah wajar) tindakan segera perlu diambil bagi menangani kesan negatif daripada teknologi digital.
"Bagaimanapun usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak berkepentingan. Kerajaan, syarikat teknologi, penyelidik dan masyarakat sivil perlu duduk bersama berbincang untuk menyediakan ruang siber yang selamat," katanya.