KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Tiga wanita warga Singapura maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Ladang Cenas, Bandar Tenggara dekat sini pada Isnin.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tenggara, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Norul Fazudin Shafie berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan berkenaan pada jam 1.52 petang.
"Seramai enam anggota dengan dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian. Kemalangan melibatkan kereta Honda Freed dengan sebuah lori jenis Roll On Roll Off (RORO).
"Tiga penumpang MPV berkenaan iaitu Toh Poh Kian yang berusia 56 tahun dan Soon Mohd Tan dan Wong Lan Yew masing-masing berusia 61 tahun maut."Semua mangsa yang merupakan warga Singapura meninggal dunia di tempat kejadian dan disahkan pegawai perubatan yang hadir di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pemandu MPV yang juga warga Singapura iaitu lelaki berusia 59 tahun dan pemandu lori RORO berusia 49 tahun terselamat.
"Operasi tersebut selesai pada jam 2.35 petang," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, hasil siasatan awal mendapati MPV berkenaan dalam perjalanan dari Kluang menghala ke Bandar Tenggara telah bertembung secara berdepan dengan lori itu di lokasi.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila MPV tersebut sedang memotong sebuah lori; namun pada masa sama datang sebuah lagi lori dari arah bertentangan.
"Lori berkenaan tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan MPV secara berdepan,” katanya pada Isnin.