SHAH ALAM -"Hati saya sebak bercampur bangga tatkala menyaksikan Filem Malbatt: Misi Bakara."
Demikian luah anak kepada Allahyarham Koperal Mat Aznan Awang yang menyifatkan garapan filem tersebut mengingatkan dirinya berkaitan kisah ayahnya itu.
Staf Sarjan Noor Azlinda Mat Aznan, 37, berkata, filem tersebut memaparkan 90 peratus kejadian sebenar yang berlaku di Somalia.
"Saya serta keluarga mengucapkan beribu penghargaan kepada pengarah merangkap producer filem itu, Adrian Teh atas inisiatif dan usahanya dalam mengangkat martabat serta mengisahkan perjuangan arwah ayah semasa bertugas di Somalia," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Katanya, dia berpeluang menonton filem tersebut di salah sebuah pawagam di Sungai Petani sebelum ini.
"Bagi saya hampir keseluruhan jalan cerita yang dipaparkan dalam filem tersebut adalah daripada kisah sebenar.
"Dengan jalan ceritanya yang menarik serta penuh aksi menyaksikan ia salah satu pengorbanan anggota tentera yang diangkat serta diberi penghargaan oleh pihak yang terlibat," katanya yang bertugas di Batalion 19, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) (Mekanize), Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah.
Menurutnya, kenangan bersama arwah ayah sentiasa diingati biarpun waktu itu dia baharu berumur tujuh tahun ketika ayahnya berangkat ke Somalia sekitar 1993.
"Kenangan paling saya tak boleh lupakan ialah arwah ayah begitu teruja apabila melihat gambarnya terpampang di dada akhbar ketika dipakaikan topi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) oleh bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Razak ketika itu semasa perbarisan anggota tentera yang bakal menyertai misi pengaman di Somalia.
"Ketika itu ayah pulang ke rumah, dia keluarkan gulungan akhbar yang diletakkan dalam poketnya lalu memberikannya kepada saya dengan gembira," katanya.
Jelasnya, antara kenangan lain tidak dapat dilupakan ketika melihat jenazah arwah buat kali terakhir sebelum dikebumikan.
"Jenazah Allahyarham dibawa pulang menggunakan helikopter dan mendarat di padang Sekolah Kebangsaan Lanai, Baling sebelum dibawa ke rumah bapa saudara saya.
"Ketika di rumah bapa saudara saya itulah, kain kafan yang menutupi tubuh arwah dibukakan sedikit di bahagian muka untuk kami lihat buat kali terakhir sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Panjang, Baling," katanya.
Ujar ibu kepada seorang cahaya mata itu, dia sentiasa menginspirasikan semangat dan pengorbanan ayahnya dalam diri sekali gus menjadikan tentera sebagai kerjaya pilihannya.
"Semangat dan pengorbanan arwah ayah sentiasa saya tanam dalam diri dan saya berazam serta nekad untuk menjadi seorang anggota tentera, Alhamdulillah, niat saya itu tercapai.
"Sebagai seorang anak, saya bangga dengan pengorbanan arwah dan saya sentiasa akan kongsikan kepada anak saya," katanya.
Allahyarham Koperal Mat Aznan Awang merupakan salah seorang anggota tentera yang terlibat dalam misi menyelamatkan 70 anggota elit Amerika Syarikat (AS) yang terperangkap di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia sekitar Oktober 1993.
Allahyarham maut ketika kenderaan APC yang dipandunya ditembak dengan senjata antikereta kebal dari arah hadapan menembusi cermin kalis peluru sehingga mengenai bahunya.
Selain Allahyarham sembilan anggota tentera lain turut cedera dalam kejadian tersebut.
Filem Malbatt: Misi Bakara garapan Adrian Teh mengangkat perjuangan kisah wira negara itu mula ditayangkan pada Rabu lalu.
Filem aksi perang ketenteraan Malaysia ini dibarisi pelakon ternama seperti Bront Palarae, Shaheizy Sam, Hairul Azreen, Zahiril Adzim, Iedil Dzuhrie Alaudin, Adlin Aman Ramlie, Fauzi Nawawi, Tony Eusoff, Syazwan Zulkifli, Dafi Ismail Sabri, Taufiq Hanafi, Nafiez Zaidi, Dini Schatzmann, Gambit Saifullah, Theebaan G, Safwan Nazri serta Ikhram Juhari.
Ia berdasarkan kisah benar tentang operasi tentera Malaysia membantu menyelamatkan tentera Amerika Syarikat yang terperangkap dalam perang saudara di Somalia pada tahun 1993.