SANDAKAN - Meskipun cuaca panas di Sandakan mencecah 33 darjah Celsius, namun anggota keselamatan yang menjaga kelancaran Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan tetap setia menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Anggota polis trafik Sheikh Abdullah Mohamad, 37, berkata seawal jam 3 pagi dia bersama rakan pasukan lain telah melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan.
Iklan
Iklan
"Itu proses biasa yang dipanggil sebagai"hadir panggil nama" sebelum memulakan tugas hari ini," katanya ketika ditemui Bernama di pusat mengundi Sekolah Menengah Yu Yuan di sini hari ini.
Berasal dari daerah Tuaran, beliau berkata, ia merupakan pengalaman pertamanya mengawal lalu lintas dalam PRK Sandakan ini.
Bagi Awang Sharmizi Awang Salleh, 28, dari IPD Kunak berkata, cuaca panas sememangnya mencabar apatah lagi dalam keadaan berpuasa.
Namun, katanya, ia sudah menjadi kebiasaan dan bukan menjadi penghalang untuk melaksanakan tanggungjawab.
Seramai 136 anggota polis ditempatkan di 19 Pusat Mengundi bagi PRK Sandakan yang bermula 7.30 pagi tadi hingga 5 petang. - Bernama