JOHOR BAHRU - Majlis Suara Melayu Johor (Suara) mahu Felda melaksanakan satu inisiatif baharu berhubung kaedah pemakluman bebanan hutang yang ditanggung para penerokanya.
Pengerusinya, A Rahman Mahadi berkata, perkara itu adalah disebabkan terdapat sejumlah besar aduan diterima pihaknya oleh golongan itu yang tidak mengetahui sehingga kini baki hutang harus dijelaskan setiap bulan.
Menurutnya, aduan daripada majoriti peneroka Felda adalah soal penyata hutang, selaku penghutang mereka tidak tahu di mana dan berapa jumlah hutang mereka.
"Oleh sebab itu adalah wajar penyata hutang yang ditanggung peneroka ini diberikan kepada mereka pada setiap bulan.
"Ini kerana mereka perlu tahu baki hutang yang perlu dibayar, setelah setiap bulan hutangnya ditolak daripada pendapatan asas bulanannya.
"Kami berharap kerajaan tidak memandang mudah isu ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
A Rahman berkata, perkara itu dilihat lebih berkesan dilakukan untuk membantu perkasakan lembaga berkenaan berbanding saranan tidak masuk akal yang diusulkan para menteri kini.
Katanya lagi, cadangan yang keluar setakat ini bukan sahaja tidak progresif dan inovatif, tetapi amat mengelirukan.
"Sebagai contoh menggantikan tanaman sawit kepada penanaman buluh untuk dikomersialkan Felda, pelancaran kempen ‘Sayangi Sawitku’ dan saranan minum sesudu minyak sawit setiap hari.
"Bukankah kita merupakan antara pengeluar minyak sawit utama dunia dan majoriti masyarakat Malaysia menggunakan minyak sawit?
"Apa hala tuju dan objektif yang ingin dicapai melalui kempen ini? Ia hanya seolah-olah satu jenaka dan penghinaan kepada masyarakat Felda,” katanya.
Beliau berkata, sudah tiba masanya pimpinan tertinggi lembaga berkenaan mengusulkan sesuatu pelan tindakan yang lebih dinamik dan berstruktur jika tidak mahu Felda sekadar menjadi sejarah di masa akan datang.
"Para menteri dan pihak pengurusan Felda, mesti membentuk pasukan khas bagi memeta jalan ke hadapan yang jelas dan radikal.
"Semua pihak perlu ingat, Felda bukan sekadar tanah perladangan, tetapi adalah legasi besar dalam sejarah dan pembangunan sosial negara kita.
"Ia mesti dipertahan dan dibantu dengan selayaknya,” katanya.