DUA pemain berpangkalan di luar negara, Luqman Hakim Shamsudin dan Nooa Laine, berada dalam senarai awal skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara menjelang pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Chonburi, Thailand, bulan depan.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan Luqman Hakim dan Nooa yang memiliki pengalaman beraksi bersama skuad senior negara, antara 25 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Muda bimbingan E Elavarasan, bermula Rabu ini.
Dalam senarai pemain yang dipanggil, Elavarasan mengekalkan 14 pemain yang beraksi pada Kejuaraan B-23 AFF 2023 baru-baru ini, antaranya penjaring terbanyak kejohanan Muhammad Alif Ikmalrizal Anuar, M. Rakesh dan Mohamad Saiful Jamaluddin.
Melengkapkan skuad, Elavarasan turut menyenaraikan sembilan pemain skuad Sukan SEA 2023 yang tidak beraksi pada Kejuaraan B-23 AFF, antaranya Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, Harith Haiqal Adam Afkar, Muhammad Azam Azmi Murad, T Saravanan dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.
Sembilan pemain tersebut kebanyakannya merupakan pemain utama kelab masing-masing dalam saingan Liga Super.
Sementara itu, 15 pemain diletakkan dalam senarai bersedia sekiranya terdapat sebarang perubahan.
Hanya 23 pemain akan menggalas cabaran skuad B-23 kebangsaan yang dijadual berlepas ke Thailand pada 4 September ini untuk menghadapi kejohanan yang berlangsung dari 6 hingga 12 September.
Pada kempen kelayakan itu, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan H akan memulakan saingan menentang Bangladesh pada 6 September, diikuti aksi bertemu Filipina (9 September) sebelum berdepan pasukan tuan rumah pada aksi terakhir yang dijadual pada 12 September.
Juara kumpulan bersama empat naib juara kumpulan terbaik akan layak ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar yang turut menawarkan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.
SENARAI 25 PEMAIN HARIMAU MUDA B-23
Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC)
Harith Haiqal Adam Afkar (Selangor FC)
Ahmad Zikri Mohd Khalili (Selangor FC)
V Ruventhiran (Selangor FC)
Muhammad Syahir Bashah (Selangor FC)
Muhammad Aliff Izwan Yuslan (Selangor FC)
Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal (JDT II)
Fergus Tierney (JDT II)
Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan (JDT II
Muhammad Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC)
Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu FC)
Muhammad Azam Azmi Murad (Terengganu FC)
Safwan Mazlan (Terengganu FC)
Muhammad Azim Al Amin Kamaruddin (Kuala Lumpur City FC)
T Saravanan (Kuala Lumpur City FC)
Muhammad Haqimi Azim Rosli (Kuala Lumpur City FC)
Mohd Aiman Afif Md Afizul (Kedah Darul Aman FC)
Muhammad Hariz Mansor (Kedah Darul Aman FC)
Muhammad Azrin Afiq Rusmini (Kedah Darul Aman FC)
M.Rakesh (Kelantan FC)
Mohamad Saiful Jamaluddin (Sri Pahang FC)
Muhammad Alif Ikmalrizal Anuar (Penang FC)
Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman (Negeri Sembilan FC)
Luqman Hakim Shamsudin (Njardvik FC)
Nooa Hamzah Laine (SJK Seinajoki FC)