Tiada negara, tiada negeri, tiadalah kelab - Jamal Nasir

Iklan
Harimau Muda yang menggalas cabaran negara di Kejuaraan B-23 AFF 2023 yang berlangsung di Rayong, Thailand baru-baru ini. Gambar kecil: Jamal Nasir

SKUAD bola sepak Bawah 23 tahun (B-23) negara sepatutnya meraih keputusan lebih baik dalam Kejuaraan B-23 AFF 2023 yang berlangsung di Rayong, Thailand baru-baru ini berdasarkan himpunan para pemain muda berkualiti dalam Liga Malaysia.

Namun, tanpa berselindung legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail mengakui kecewa apabila masih terdapat segelintir kelab Liga Malaysia yang kekal berpendirian meletakkan kelab lebih utama dari negara.

Iklan
Iklan

Malah, lebih mengecewakan lagi kata bekas pemain Harimau Malaya era 1970-an itu terdapat juga kelab-kelab ini menolak panggilan skuad negara untuk khidmat pemain utama dengan menggunakan pelbagai alasan.

Sebaliknya menurut bekas pemain posisi pertahanan itu segelintir kelab hanya melepaskan para pemain yang bukan pemain utama pasukan sahaja bagi mengharungi saingan liga domestik.

Iklan

"Sejujurnya pada saya sebenarnya kelab boleh sahaja melepaskan para pemain mereka kerana kesan positifnya tidak hanya untuk perkembangan bola sepak negara tetapi juga pemain dan kelab juga akhirnya.

"Nasihat saya kepada kelab-kelab Liga Malaysia sempena ulang tahun kemerdekaan negara pada Khamis ini, tolonglah letakkan satu dalam kepala, jiwa dan hati bahawa negara itu lebih penting dari segala-galanya,” kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Iklan

Sebagai rekod, Harimau Muda kendalian E Elavarasan mengakhiri kempen Kejuaraan B-23 AFF 2023 di tempat keempat setelah tewas kepada Thailand 3-4 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi perebutan tempat ketiga di Stadium Rayong, Thailand, baru-baru ini.

Kejuaraan B-23 AFF juga merupakan kejohanan ketiga anak buah Elavarasan selepas Piala Merlion dan Sukan SEA Kemboja 2023 sebelum ini.

Di Kemboja, skuad negara gagal melangkah ke perlawanan akhir apabila tewas di separuh akhir, sekali gus gagal merealisasikan misi emas negara di temasya dwitahunan itu.

Ditanya Kelayakan Piala Asia B-23 di Bangkok, Thailand pada bulan depan sebagai medan menebus dua kegagalan tersebut, Jamal tidak menyalahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Elavarasan terutamanya para pemain Harimau Muda yang disifatkan telah memberikan komitmen terbaik masing-masing, berikutan pencapaian dilakar di Bangkok sebelum ini.

Sebaliknya tegas Jamal, senario sama akan kembali berulang sekiranya masih lagi terdapat segelintir kelab yang mengambil sikap sambil lewa dalam membawa agenda negara ini.

"Sekiranya di peringkat Kejuaraan AFF yang bertaraf mini Piala Dunia Asia Tenggara pun kita tidak mampu jadi juara, usahlah bermimpi untuk pergi lebih jauh ke peringkat Asia apatah lagi dunia.

"Semua harus sedar bahawa para pemain khasnya gandingan pemain utama dan baharu memerlukan pendedahan minit perlawanan kompetitif untuk mematangkan permainan mereka biarpun kejohanan di peringkat Asia Tenggara.

"Masalah juga akan timbul apabila keserasian dalam kalangan para pemain utama dan baharu ini diblend dalam sesi latihan pusat yang sepatutnya diblend semasa di pentas Kejuaraan B-23 AFF baru-baru ini,” katanya.

Jamal juga menyifatkan senario ini sebagai satu perkembangan yang berterusan ini sebagai sesuatu yang kurang sihat untuk industri bola sepak negara pada masa depan.

"Tiada negara, tiada negeri, tiadalah kelab. Jadi kita perlu sentiasa meletakkan negara sebagai nombor satu dalam segala-gala hal.

"Kita sebenarnya tidak hanya boleh memikirkan skuad Harimau Malaya sahaja, sebaliknya perlu memikirkan skuad Harimau Muda Bawah 23, Bawah 19 dan lain-lain.

"Sekiranya pasukan B-23 dan yang lain pun tidak diberikan perhatian serius, percayalah pembangunan bola sepak kita akan berlegar di sekitar peringkat kelab sahaja pada masa depan,” katanya.

Harimau Muda di Kelayakan Piala Asia diletakkan dalam Kumpulan H bersama-sama Bangladesh, Filipina dan tuan rumah Thailand.

Sebagai rekod, juara daripada 11 kumpulan dan empat naib juara terbaik layak secara automatik ke Piala Asia di Qatar yang dijangka berlangsung pada April tahun depan.