KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sedang giat mengusahakan insentif buat sektor swasta yang menyediakan pusat latihan sukan bagi memenuhi keperluan persatuan sukan kebangsaan (PSK) di negara ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, KBS dalam perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk mencari kaedah terbaik boleh dimanfaatkan sektor swasta yang membantu.
"Jadi, saya menyeru pihak di luar sana yang mempunyai fasiliti dan sedia untuk menawarkan fasiliti mereka sebagai gelanggang latihan pusat, boleh berjumpa dengan persatuan sukan atau berhubung dengan KBS,” katanya.
Hannah berkata demikian semasa sidang akhbar selepas melancarkan Inisiatif 1Sukan 1Fasiliti di Dewan Perdana, Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil pada Isnin.
Sebelum itu, beliau menjawab persoalan mengenai insentif dan keistimewaan yang bakal diperoleh pihak swasta yang membantu menyedia serta menyewa fasiliti kepada PSK pada kadar berpatutan.
Dalam pada itu, Hannah berkata, sebanyak lapan permohonan daripada PSK untuk mendapatkan venue latihan diselesaikan menerusi padanan inisiatif 1Sukan 1Fasiliti.
Lapan sukan tersebut ialah larian berhalangan (Persatuan Sukan Larian Berhalangan Malaysia (MORSA) yang mendapat venue ruang parkir Kompleks Rakan Muda, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Turut menerima manfaat ialah bola korf (Persatuan Korfball Malaysia) di Dewan Serbaguna Akademi Sukan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang; teqball (Persatuan Teqball Malaysia) di Dewan Serbaguna Akademi Sukan, Universiti Putra Malaysia (UPM); sofbol dan besbol 5 (Persatuan Sofbol Malaysia) di Padang Sofbol Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Bagi sukan sport diving & finswimming (Persatuan Finswimming Malaysia) pula akan menjalani latihan di Akademi Sukan UPM; drone soccer (Persatuan Sukan Udara Malaysia (MSAF) di MRANTI Park, Bukit Jalil dan hoki ais (Persatuan Hoki Ais Malaysia) di IOI Icespace Ice Rink, IOI City Mall, Putrajaya.
"Saya nak ucapkan terima kasih kepada universiti tempatan seperti UPM dan UKM kerana mereka menawarkan tapak universiti untuk pembangunan sukan. Ia bagus buat pelajar dan PSK,” jelasnya.
Pada masa sama, menurut Hannah, antara sukan lain yang masih mencari fasiliti untuk dijadikan pusat latihan ialah ping pong dan gusti.
"Bagi fasa seterusnya, KBS akan membuat padanan fasiliti yang sesuai untuk dijadikan venue penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa,” ujarnya.